Categories
NASIONAL

BERSIH tiada kaitan dengan Soros

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Maria Chin Abdullah disoal siasat setiap hari untuk memberi tekanan kepada beliau berkenaan dakwaan menerima wang sumbangan daripada Yayasan George Soros.

Mengimbas kejadian ditahan selama 11 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Maria berkata, beliau tetap dengan pendirian bahawa BERSIH 2.0 tidak menerima dana daripada yayasan terbabit.

“Selepas dua hari ditahan, setiap hari saya dikenakan apa yang mereka panggil soal siasat.

“Sebenarnya itu bukanlah soal siasat tetapi mereka berulang kali tanya soalan sama supaya saya mengaku melakukan perkara yang saya tidak buat,” katanya ketika berucap di hadapan hampir 1,000 penyokong BERSIH 2.0 di Dataran Merdeka, malam tadi.

Maria berkata, beliau juga ditekan supaya mengaku BERSIH 2.0 mempunyai kaitan dengan perhimpunan BERSIH 5 yang diadakan di luar negara atau Global BERSIH.

maria chinKatanya, himpunan baju kuning yang berlangsung di luar negara bukan anjuran BERSIH 2.0 tetapi adalah inisiatif rakyat Malaysia yang menetap di negara terlibat.

“Tindakan cuba mengaitkan Global BERSIH dengan BERSIH 2.0 jelas hanyalah percubaan pihak berkuasa memburukkan kebangkitan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya.

Pada masa sama, Maria berkata, BERSIH 2.0 turut didakwa memiliki dana RM3.2 bilion yang disifatkan tidak berasas, malahan sukar dipercayai.

“BERSIH 2.0 tidak mengambil satu sen pun duit daripada Soros Foundation dan akaun kita ada dipamerkan di laman sesawang untuk diperiksa tetapi mereka tidak percaya kerana sangka kita ada RM3.2 bilion.

“Siapa yang boleh percaya?,” soalnya.

-AA-