Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pembebasan Maria Chin dirai penuh semangat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Hujan lebat tidak menghalang hampir 1,000 peserta berkumpul di Dataran Merdeka, malam tadi bagi menyambut ketibaan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Maria Chin Abdullah yang dibebaskan semalam.

Sambutan pembebasan Maria itu dimulakan dengan ucapan beberapa aktivis BERSIH 2.0 termasuk bekas Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Perhimpunan yang sarat dengan ucapan penuh bersemangat itu bertambah hangat apabila Maria tiba di tapak perhimpunan kira-kira jam 9.00 malam dengan laungan “hidup Maria” dan nyanyian “Maria Bebas” juga “Mansuh SOSMA”.

Maria yang kelihatan bersemangat turut menyampaikan ucapan sulungnya selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Antara yang hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang; Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; kartunis Zunar dan ramai lagi.

img_2125Pada 18 November lalu, Maria Chin ditahan dalam serbuan di pejabat BERSIH 2.0 di Petaling Jaya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya,

Beliau yang ditahan selama 11 hari disiasat di bawah SOSMA berdasarkan penemuan satu dokumen.

Beliau juga turut disiasat mengikut Seksyen 124c Kanun Keseksaan atas kesalahan menjalankan aktiviti yang dikatakan menjejaskan demokrasi berparlimen.

-AA-