Categories
SELANGOR

Buku ‘Terokai Kehijauan Selangor’ bongkar keunikan eko-pelancongan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 NOV: Keunikan dan kehijauan bumi Selangor diterjemahkan kepada umum menerusi penghasilan buku ‘Terokai Kehijauan Selangor’, karya Goh Yong Chuan.

Inisiatif diwujudkan Tourism Selangor itu dibuat bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk mengenali keindahan flora dan fauna di negeri ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, buku yang mengandungi informasi khusus itu mampu memberi gambaran terbaik kepada pelancong mengenai sumber alam semula jadi di Selangor.

“Buku yang mengandungi informasi khusus seperti maklumat botanikal, zoologikal, pantai, perhilitan dan lain-lain kajian yang berkaitan memberi pelancong pendedahan mengenai sumber alam semula jadi terdapat di Selangor khasnya.

“Buku ini bukan sahaja membuka mata dan minda orang ramai terhadap khazanah alam negeri, tetapi ia juga menjadi panduan serta pendidikan kepada pecinta alam semula jadi,” katanya.

buku-pelancongan1Beliau berkata demikian pada pelancaran buku tersebut di Sky Forest, Acappella Suite Hotel di sini, petang ini.

Hadir sama, Pengurus Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Gan Pei Nei.

Bercakap pada majlis sama, Noorul Ashikin turut menzahirkan penghargaan pihaknya kepada pengarang nashkah berkenaan atas kesudian menterjemahkan keindahan eko pelancongan negeri dengan penghasilan buku itu.

“Penghasilan buku ini wajar diberi penghargaan tinggi untuk memenuhi aspirasi Kerajaan Negeri yang menghargai dan mahu menjadikan Selangor sebagai negeri hijau,” katanya.

Selain memaparkan ilustrasi berwarna, menariknya, buku berkenaan juga turut tersedia dalam tiga bahasa utama, iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Buku setebal 200 muka surat itu dijual pada kadar serendah RM25.00 dan boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negeri.

Sementara itu, penulis buku, Yong Chuan dalam sidang media pelancaran buku tersebut berkata, beliau mengambil masa kira-kira enam bulan melihat sendiri keunikan dan kehijauan bumi Selangor, sebelum menterjemahkannya dalam bentuk penulisan.

“Cabaran terbesar untuk menghasilkan buku ini tentunya berkait faktor kekangan masa dan ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang benar-benar boleh difahami oleh masyarakat.

“Untuk tempoh enam bulan turun padang melihat keadaan sebenar bumi Selangor, ia pengalaman yang cukup menarik walaupun wujudnya sumber-sumber terhad untuk mendapatkan pendedahan dan butiran lanjut,” katanya.

=EZY=