Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan ekoran ringgit susut

KUALA LUMPUR 20 NOV: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan, susulan penyusutan ringgit berikutan spekulasi yang kuat mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata minggu depan akan menjadi sukar untuk bursa tempatan, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, antara faktor yang akan memberi tekanan kepada Bursa Malaysia adalah penyusutan ringgit yang jatuh kepada paras terendah dalam tempoh 10 bulan pada Jumaat pada 4.40 berbanding dolar AS, dan harga komoditi yang rendah.

“Selain itu, kenyataan Pengerusi Fed Janet Yellen mengukuhkan kemungkinan kenaikan kadar faedah secepat bulan depan.

“Ini menjadikan bon dalam nilai dolar AS lebih menarik berbanding bon dalam nilai ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, Nazri Khan menegaskan semua ini hanya spekulasi wang.

“Aliran masuk sebenar dana asing adalah pada tahun depan susulan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke Beijing awal bulan ini yang menyaksikan nilai perjanjian perniagaan sebanyak RM143.64 bilion dimeterai antara Malaysia dan China.

“Kami percaya langkah ini akan menstabilkan ringgit dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.37 mata kepada 1,623.80 daripada 1,634.17 pada Jumaat lepas.

Bagi perbandingan mingguan, Indeks FBM Emas merosot 45.04 mata kepada 11,459.21, Indeks FBMT 100 jatuh 44.55 mata kepada 11,170.41 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 10.69 mata kepada 12,093.22.

FBM Ace naik 40.58 mata kepada 5,005.17 dan FBM 70 menokok 43.85 mata kepada 13,394.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan jatuh 166.11 mata kepada 14,117.02, Indeks Perusahaan susut 45.31 mata kepada 3,064.17 dan Indeks Perladangan menokok 8.46 mata kepada 7,768.48.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 7.33 bilion unit, bernilai RM8.76 bilion daripada 8.86 bilion unit, bernilai RM10.73 bilion, dicatatkan pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 5.04 bilion unit, bernilai RM8.34 bilion daripada 5.82 bilion unit, bernilai RM10.18 bilion dicatatkan pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.29 bilion saham, bernilai RM242.51 juta daripada 1.70 bilion saham, bernilai RM372.54 juta sebelum ini.

Pasaran ACE susut kepada 985.74 juta saham, bernilai RM159.06 juta daripada 1.32 bilion saham, bernilai RM177.08 juta pada minggu lepas.

EZY