Categories
NASIONAL

Cegah denggi, MPAJ serbu 12 tapak binaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 NOV : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengadakan Operasi Pemeriksaan Tapak Bina sebagai inisiatif memastikan kontraktor dan pemaju menghapuskan tempat pembiakan denggi di kawasan tapak binaan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Norhayati Ahmad berkata, 90 anggota agensi terbabit terlibat dalam operasi ini dan kawasan operasi dipilih melibatkan kawasan pentadbiran MPAJ.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 12 tapak binaan telah diperiksa melibatkan 14 kontraktor. Daripada jumlah tersebut, tiga tapak binaan tidak beroperasi.

image“Manakala tiga kontraktor didakwa di mahkamah dan tiga kontraktor diarah tutup tapak binaan serta didakwa di mahkamah. Selain itu, tiga kontraktor lagi dikenakan tindakan Notis Seksyen 8,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dan Akta Kerajaan Tempatan 1975.

Dalam perkembangan itu, kawasan-kawasan telah dibuat pemeriksaan adalah di tapak-tapak binaan di Melawati, Pandan Perdana, Pandan Indah, Taman Bukit Segar, Taman Nirwana, Taman Cheras Indah dan Taman Keramat.

“Risalah-risalah maklumat berkaitan demam denggi turut diagihkan kepada orang ramai sepanjang operasi dijalankan agar kesedaran masyarakat berkenaan penjagaan kebersihan dan bahaya demam denggi dapat ditingkatkan,” katanya.

-nR-