Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Viral: Penguatkuasa MBSA dihalang bertugas

SHAH ALAM, 25 NOV: Video berdurasi dua minit 10 saat yang memaparkan seorang penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diganggu dua individu ketika melaksanakan tugas mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Kejadian yang berlaku pada jam 10.24 pagi semalam berhampiran Restoran Selera Kampung Subang, Sungai Buloh bermula apabila penguatkuasa terbabit mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak meletakkan kupon pakir.

Tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati pemilik kenderaan terbabit kerana mendakwa dia sudah meletakkan kupon parkir hingga mencetuskan pertengkaran antara mereka berdua.

Salah seorang daripada individu terbabit kemudian bertindak menarik baju penguatkuasa berusia 23 tahun itu, manakala seorang lagi dilihat mengepung, mengambil gambar dan cuba menyentuh tubuh.

Kelihatan seorang lelaki dipercayai orang awam cuba meleraikan kejadian itu sambil diperhatikan seorang pegawai penguatkuasaan lain.

Difahamkan, penguatkuasa terbabit juga sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, kira-kira jam 11 pagi semalam.

-AA-