Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Dedah maklumat sabotaj air, Selangor cadang beri penghargaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan untuk memberikan penghargaan kepada individu yang mendedahkan maklumat isu sabotaj bekalan air bersih.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, cadangan tersebut boleh dipertimbang memandangkan wujudnya usaha dan bantuan daripada masyarakat setempat menyampaikan maklumat mengenainya.

“Setakat ini, tiada sistem reward (penghargaan). Namun, sebenarnya memang kita menerima maklumat daripada orang awam.

img_5509-800x533“Merekalah (penduduk) yang mula-mula menghidu bau dan melihat sendiri bagaimana pencemaran itu boleh berlaku.

“Jadi, untuk tempoh ini cadangan untuk beri penghargaan kepada pendedah maklumat adalah cadangan yang baik,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN), Sekinchan, Ng Suee Lim yang mencadangkan sistem penghargaan dilaksanakan secara menyeluruh sebagai usaha menangani pencemaran air negeri.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri terpaksa menutup beberapa loji rawatan air negeri di susulan wujudnya dakwaan unsur sabotaj di Sungai Semenyih dan Sungai Buah.

Dalam perkembangan itu, Kerajaan Negeri memaklumkan sudah memperoleh bukti berhubung wujudnya dakwaan sabotaj berkenaan yang diperoleh hasil daripada agensi Kerajaan Negeri, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor.

-NFN-