Categories
SELANGOR

Ekspo Karnival Pelancongan Sabak Bernam galak pelancongan domestik

OLEH HAFIZAN TAIB

SABAK BERNAM, 17 NOV: Ekspo Karnival Pelancongan Sabak Bernam dijangka berlangsung dengan jaya berikutan penyertaan menggalakkan daripada orang ramai dalam pelbagai acara dijalankan.

Ekspo anjuran Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Jawatankuasa Pelancongan Negeri Selangor akan diadakan di Dataran Tunggak 10, di sini, mulai 25 hingga 27 November ini.

Yang Dipertua MDSB, Azlinda Azman, berkata penganjuran program itu bertujuan menggalakkan pelancongan khasnya di daerah itu dan bersesuaian dengan November sebagai bulan pelancongan untuk Sabak Bernam.

“Dalam tiga hari karnival kita akan jalankan Karnival Bendang sebagai program utama merangkumi acara Larian Bendang Selangorku, Sukaneka Bendang, Pertandingan Mewarna dan juga Pertandingan Minus One bagi lagu tradisional.

“Kita juga mengadakan acara larian terbahagi kepada tujuh kategori di mana enam kategori untuk pertandingan dengan jarak dari dua hingga 16 kilometer,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

img-20161021-wa0001Beliau berkata, sebelum itu bermula awal November, MDSB telah menjalankan beberapa acara yang mencatat penyertaan menggalakkan daripada orang ramai seperti pertandingan catur berstatus kebangsaan iaitu Raja Catur Sabak Bernam.

Katanya, ia menarik minat 190 peserta termasuk lima peserta dari Filipina serta peserta paling tua berusia 63 tahun juga kanak-kanak lima tahun selain pertandingan fotografi Sabak Bernamku Indah terbahagi kepada tiga kategori iaitu DSLR Profesional, DSLR Amatur dan Media Sosial termasuk juga lukisan mural.

“Kita juga akan menjalankan kempen sifar polistrin dengan sesi penerangan kepada orang ramai mengenai bahan alternatif yang boleh digunakan bagi menggantikan bahan berkenaan.

“MDSB menganjurkan program sebegini bagi menanam semangat kecintaan kepada Sabak Bernam,” katanya.

Majlis perasmian pembukaan dan penutup Ekspo Karnival Pelancongan Sabak Bernam dijangka akan disempurnakan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

-nR-