Categories
NASIONAL

Hak BERSIH anjur perhimpunan aman wajar dihormati

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 NOV: Hak Bersih 2.0 menganjurkan perhimpunan aman seharusnya dipelihara dan dihormati semua pihak, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, hasrat Bersih 2.0 untuk berhimpun secara aman juga termaktub dalam perlembagaan negara dan tujuan organisasi itu juga sentiasa jelas dan konsisten iaitu bagi menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

“BERSIH juga sudah lama mengumumkan tarikh 19 November, berbanding Gerakan Baju Merah yang dengan jelas menyatakan mahu mengacau Bersih dan berhimpun pada tarikh sama.

nik-nazmi“Jika mereka mahu berhimpun pada tarikh lain tiada masalah tetapi jika mahu mencetuskan gangguan dan intimidasi, itu tidak patut berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, sejarah membuktikan perhimpunan anjuran kumpulan Bersih berlangsung aman jika tiada kekacauan yang ditimbulkan pihak lain.

“Sudah berapa kali perhimpunan bersih dianjurkan dan kebiasannya berlaku aman jika tiada sebarang gangguan daripada pihak lain seperti Bersih 4 lalu.

“Rakyat kini sudah semakin matang dan faham peranan dalam menghormati perlembagaan negara,” katanya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perhimpunan Bersih 2.0 dan Gerakan Baju Merah adalah tidak perlu dan meminta kedua-dua kumpulan itu bertindak lebih rasional.

Katanya, keduanya tidak mempunyai matlamat jelas dalam berhimpun.

-nR-