Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Enam Syarikat Kerajaan Negeri dominasi anugerah SEBA 2016

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor mendominasi Selangor Excellence Business Awards 2016 (SEBA 2016) apabila enam syarikatnya menggondol lapan daripada 50 kategori dipertandingkan dalam anugerah anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia – Selangor (DPMM).

Anugerah berprestij kali ketiga diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) itu turut menyaksikan empat daripadanya memenangi ‘Masterclass Awards’ apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor Berhad, Hasan Azhari Idris dinobatkan sebagai CEO Of The Year (kategori lelaki).

Manakala CEO PKNS Real Estate Sdn Bhd, Sr Fakru Radzi Ab Ghani pula menggondol kategori Young CEO Of The Year dan World Wide Holdings Bhd pula memenangi dua anugerah Masterclass bagi kategori ‘diversify Conglomerate – GLC’ dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Worldwide Holdings Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Norazlina Zakaria melengkapkan malam bermakna mereka apabila turut memenangi Anugerah Kecemerlangan bagi kategori alam sekitar sekaligus menjadikan Worldwide Holdings Bhd berjaya membawa pulang tiga anugerah kesemuanya.

Selain Worldwide Holdings Bhd, turut memenangi Anugerah Kecemerlangan, Central Spectrum (M) Sdn Bhd yang diwakili CEO, Mahmud Abbas bagi kategori Pembangunan Hartanah, Kelab Golf Seri Selangor diwakili Pengurus Besar, Hairul Zaini (Pengurusan Padang Golf Awam) dan Shah Alam Convention Centre (SACC) diwakili Pengurus Besar, Nasrudi Abu Bakar (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran).

Turut menarik perhatian, selebriti popular, Datuk AC Mizal yang merupakan CEO DNF Group Sdn Bhd memenangi ‘Masterclass Awards’ bagi kategori ‘Business Icon Of The Year – Entertainment’ dan CEO Khadijah’s Kitchen Sdn Bhd, Datuk Khadijah Ibrahim memenangi Anugerah Kecemerlangan bagi kategori F&B.

Selebriti lain yang turut menerima anugerah di atas kecemerlangan perniagaan masing-masing adalah pemilik bersama Raviola Sdn Bhd, Datin Paduka Umie Aida bagi kategori Perubatan Altenatif dan pemilik syarikat RCW Worldwide Sdn Bhd, Rozita Che Wan bagi kategori Produk Kesihatan dan Kecantikan.

Anugerah disampaikan oleh Penaung Diraja SEBA, Tengku Laksamana Selangor, Y.A.M Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain penyampaian anugerah, majlis gilang gemilang itu turut dihangatkan dengan persembahan hiburan AC Mizal dan Khadijah.

EZY