Categories
SELANGOR

16 pencemaran sungai ditangani tahun ini

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri giat menangani 16 kes pencemaran sungai yang berlaku di Selangor tahun ini apabila mengakibatkan penutupan Loji Pembersihan Air (LPA).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, terdapat tujuh kes di Daerah Hulu Langat bermula Januari hingga Februari lalu sehingga menyebabkan lebih sejuta pengguna di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang terjejas.

Katanya, dua kes daripadanya berpunca daripada pencemaran bau yang tidak dikenalpasti daripada Sungai Semantan, Pahang.

Manakala empat kes lagi daripada kenaikan paras ammonia akibat pelepasan sistem kumbahan Lembangan Langat dan satu kes daripada kenaikan mangan.

“Baki lapan kes pencemnaran berlaku pada September hingga Oktober lalu dengan melibatkan empat kes berasal daripada premis tidak berlesen di Sungai Lalang (Semenyih).

dns-2016“Dua kes berpunca daripada sauk Sungai Semantan dan dua kes lagi berpunca daripada Nilai,” katanya ketika di Sidang Dewan Negeri (DNS), semalam.

Wong berkata demikian menjawab pertanyaan ADN Semenyih (BN), Dato’ Johan Aziz mengenai jumlah kes gangguan bekalan air akibat pencemaran sungai sepanjang tahun ini.

Katanya, kilang yang mengakibatkan pencemaran adalah dikawal Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 74).

“JAS mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis arahan penahanan operasi peralatan proses pengeluaran kilang yang menjadi punca pelepasan pencemaran dan tindakan mahkamah di bawah AKAS 74.

“Manakala bagi kilang tanpa lesen, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa mengambil tindakan perundangan di bawah Akta Perancagan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran boleh dikenakan denda maksimun RM100,000 atau lima tahun penjara merujuk seksyen 25, AKAS 74,” katanya.

EZY