Categories
SELANGOR

Pakatan jelajah kawasan Umno, ADN BN zahir penghargaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran negeri yang giat turun padang ke kawasan luar bandar di seluruh negeri, khususnya di kawasan pentadbiran ADN Barisan Nasional.

Beliau berkata, program turun padang wakil-wakil ADN Pakatan itu sekali gus mampu menyelesaikan isu dan permasalahan rakyat di kawasan pinggir bandar.

“Walaupun wujud kerisauan (sokongan rakyat) di hati kami kerana kekerapan ini, namun setidaknya banyak juga masalah rakyat di tempat kami dapat diselesaikan.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan barisan Exco yang kerap datang ke Sepang, Labohan Dagang, Sungai Buah, dan di kawasan saya di Dengkil sendiri,” katanya di Sidang Dewan Negeri.

Ketika menggulung perbahasan Sidang Dewan petang ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut mengulas kenyataan ADN Barisan Nasional itu.

Beliau berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri terus konsisten memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat pinggir bandar terus terbela dan menikmati hasil kekayaan negeri seadilnya.

“Atas penghargaan diberikan ini, Dengkil tidak perlulah risau kerana saya dan barisan Exco akan lebih kerap turun ke kawasan Dengkil dan Sepang khususnya dalam tempoh setahun ini,” sinisnya yang turut mendapat tepukan sidang Dewan.

Dalam perkembangan itu, pilihan Raya Umum ke 14 dijangka akan diadakan pada 2018 ini.

-nR-