Categories
NASIONAL

Gagal bahas kemenangan Trump, bukti Parlimen bukan kelas pertama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 NOV : Penolakan usul perbahasan berhubung kemenangan Donald Trump kepada Malaysia membuktikan Malaysia tidak serius membincangkan kesan hubungan dagang dan keselamatan serantau negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Malaysia juga dilihat tidak bersedia menghadapi segala kemungkinan daripada perubahan Rumah Putih susulan kemenangan Trump.

“Kesan kemenangan Trump menyebabkan berlakunya kejatuhan ekonomi dunia dengan penurunan mata wang asia lain.

“Ini berikutan dasar Trump untuk membawa pulang pelaburan di luar masuk semula ke Amerika Syarikat bagi menumpukan pelaburan domestik.

shamsul-iskandar-mohd-akin“Malaysia selaku negara dagang bebas pastinya terkesan dengan pendirian Trump ini.

“Oleh itu adalah wajar untuk Dewan Rakyat mengkaji langkah-langkah susulan untuk mengurangkan impak perubahan pentadbiran baru Amerika Syarikat terhadap ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Usul tersebut difailkan Naib Presiden KEADILAN itu Jumaat lalu, dan ditolak Speaker Dewan semalam atas alasan masih terlalu awal untuk kerajaan membuat penilaian terhadap dasar yang dikemukan Trump.

Usul tersebut dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) bagi membincangkan kesan kemenangan tersebut kepada Malaysia dalam soal ekonomi, dasar luar negara dan keselamatan serantau.

Bercakap lanjut, Shamsul berkata Parlimen Malaysia sewajarnya bersedia menetapkan arah tuju pelaksanaan dasar luar supaya tidak terkesan dengan kemelut kuasa besar dunia.

Beliau berkata ini termasuklah pengukuhan kerjasama serantau antara Malaysia dan China serta pemeteraian perjanjian TPPA tahun lalu yang bakal menghimpit kuasa ekonomi Malaysia.

tppa-trump“Walaupun saya menyambut baik pendirian Trump untuk membatalkan TPPA, namun kini Malaysia lebih condong ke arah kerjasama bersama China.

“Ini juga akan membawa kepada kemelut keselamatan perairan termasuk membantu tuntutan Malaysia terhadap salah satu pulau di Kepulauan Spratly,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan supaya Parlimen Malaysia mesti mempunyai hala tuju jelas untuk tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar dunia.

“Keengganan Parlimen membahaskan isu tersebut menunjukkan bahawa Parlimen Malaysia masih jauh untuk mencapai Parlimen kelas pertama,” katanya.

-nR-