Categories
SELANGOR

Impian Iman miliki IPad tercapai

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 14 NOV: Impian penghidap kanser tulang tahap empat, Mohamad Noor Iman Mohamad Mahady, 15 untuk memiliki sebuah iPad akhirnya tercapai.

“Iman gembira. Iman dapat main ‘permainan’ kesukaan Iman dan tak sunyi lagi,” luahnya selepas diberikan iPad.

Terdahulu, bertempat di kediamannya di Subang Suria Apartment, Iman menerima hadiah iPad daripada Persatuan Impian Kanak-kanak (CWS) Malaysia.

Majlis serahan iPad turut disertai Exco Kesihatan, Kebajikan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

iman-1Timbalan Presiden CWS, Teoh Teik Hoong berkata, gajet berkenaan diharap dapat memenuhkan masa remaja lelaki itu dan melupakan penderitaannya.

“Dengan keadaannya yang tidak mampu bergerak, kami rasakan impiannya untuk memilik iPad itu wajar ditunaikan.

“Melihat wajahnya tersenyum menerima iPad sebentar tadi memberi kepuasan kepada kami,” katanya.

Pada Oktober 2014, Iman disahkan menghidapi barah otak, menjalani pembedahan dan selepas itu keadaannya semakin teruk.

Pakar perubatan menjangkakan beliau hanya mampu bertahan setakat Jun lalu ekoran barah sudah merebak ke tulang dan sistem sarafnya.

Namun, Iman sekadar hilang keupayaan berjalan dan masih bernyawa sehingga hari ini.

Sejak sebulan lalu, Iman kerap kali menyuarakan hasrat memiliki iPad untuk mengisi masanya terlantar atas katil.

Ibu Iman, Rozita Tajuddin, 42, ketika diminta mengulas pemberian dan kunjungan hari ini tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya.

ibu-iman“Terima kasih kepada semua yang sudi menunaikan hajat anak saya dan sudi berkunjung ke rumah saya hari ini. Kami tidak mampu (membeli iPad) sebelum ini.

“Sudah lama dia impikan iPad, akhirnya tercapai,” katanya sebak.

Sementara itu, Daroyah berkata, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk membantu mana-mana pesakit yang memerlukan bantuan menerusi Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor.

“Kita sedia memberi bantuan peralatan, makanan, susu, lampin pakai buang dan lain-lain yang diperlukan.

“Pejabat Penyelaras DUN Kota Damansara akan membantu mengisi borang selepas ini,” katanya.

-nR-