Categories
SELANGOR

Laporan Audit wajib dibentang bukan diklasifikasi OSA

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Tindakan mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak wajar ekoran Perlembagaan Persekutuan mewajibkan laporan terbabit dibentangkan di dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata,perkara itu tidak sepatutnya berlaku apabila kerana menyekat kebebasan Ahli Parlimen membahaskan perkara dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“YB Seputeh berkata Pandan dibawa ke mahkamah kerana memecah rahsia OSA tetapi dalam perlembagaan kita diwajibkan Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan ke Parlimen.

“Jadi, bagaimana boleh diletakkan di bawah rahsia OSA. Sedangkan OSA hendaklah merujuk kepada perlembagaan,” kata Fauzi ketika mencelah ketika Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berbahas di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, semalam.

Jelasnya, kesan tindakan itu mengakibatkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli didakwa di mahkamah.

Terdahulu, Rafizi turut menjadi mangsa skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Rafizi atas tuduhan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berdasarkan kertas pertuduhan Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.

Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta sama.

EZY