Categories
NASIONAL

IPT perlu pertahan kebebasan mahasiswa bersuara

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 NOV: Pentadbiran universiti digesa untuk tidak menyekat kebebasan bersuara mahasiswa dalam menyampaikan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Tan Kar Hing mengecam keputusan diambil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas Setiausaha Kesatuan Mahasiswa Malaysia, Asheeq Ali yang didapati bersalah menyertai Himpunan #TangkapM01.

“Asheeq Ali dikenakan tindakan pergantungan serta merta selama satu semester dan didenda sebanyak RM200.

“Tindakan itu seolah-olah mengetepikan peranan mahasiswa selama ini sentiasa memainkan peranan penting mempertahankan negara dan menjadi tonggak penggerak kepada pembangunan Negara pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Kar Hing berkata, penganjuran dan kehadiran mahasiswa di dalam Himpunan #TangkapM01 merupakan sebahagian tanggungjawab mereka bagi menyatakan bantahan kepada penyelewengan kekayaan negara oleh pemimpin kerajaan atasan.

Tambah beliau, hukuman dikenakan kepada Asheeq Ali juga seperti ugutan menakut-nakutkan mahasiswa lain tampil menyuarakan hak mereka sebagai rakyat berikutan kestabilan politik negara hari ini terancam dengan skandal rasuah dan penyelewengan.

“Penafian hak membantah ini, seperti membunuh pemikiran mahasiswa yang selama ini kritis dan progresif terhadap kemajuan Negara.

“Sepatutnya pihak berwajib mengambil tindakan mengheret M01 ke muka pengadilan dan bukan hanya mengambil tindakan menghukum mereka yang prihatin membangkitkan isu ini.

“Undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) patut dimansuhkan sepenuhnya kerana mahasiswa adalah bakal pemimpin masa hadapan yang perlu diberi hak bersuara bagi masa depan Malaysia lebih baik,” katanya.

EZY