Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Isu Pengambilalihan SPLASH

OLEH AHLI PANEL AIR SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan “Panel Penilai Air” (Panel) pada tahun 2009 yang berfungsi untuk membantu Kerajaan Negeri menyempurnakan pelan Penstrukturan Industri Bekalan Air Negeri Selangor (Penstrukturan).

Umum amat memahami akan keperluan penstrukturan ini akibat kegagalan penswastaan air di seluruh negara, yang menyaksikan kedudukan industri yang ‘fragmented’ dan pemberian kontrak konsesi yang berat sebelah atau tidak adil.

Setiap usaha pengambilalihan SPLASH di maklumkan kepada Panel. Panel memandang serius perbincangan berlanjutan mengenai usaha Penstrukturan iaitu pengambilalihan entiti konsesi Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Panel telah mengambil maklum usaha ini masih di dalam peringkat perundingan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan SPLASH. Di dalam beberapa sesi penjelasan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menekankan terma-terma pengambilalihan mestilah berasaskan kepada prinsip keadilan, tidak membebankan rakyat dan pengguna.

Mutakhir, Panel dimaklumkan bahawa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memerlukan tempoh rundingan dilanjutkan selama 6 (enam) bulan untuk memuktamadkan Penstrukturan berkenaan.

Panel juga maklum bahawa pihak Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan lebih awal untuk melantik penilai bebas bagi membuat penilaian ke atas SPLASH.

‘Input’ dan cadangan kami telah dimajukan kepada Kerajaan Negeri. Tindakan Kerajaan Negeri Selangor melantik penilai bebas serta mendapatkan input dari Panel adalah langkah yang amat wajar supaya penilaian yang adil dan professional dapat dibuat dalam pengambilalihan SPLASH.

Tegasnya Kerajaan Negeri belum memuktamadkan penilaian serta pengambilalihan SPLASH sepertimana tohmahan YB Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim melalui media dan laman facebook serta tweeter beliau. Tuduhan bahawa Kerajaan Negeri telah memuktamadkan dan menawarkan RM2.7billion kepada pihak SPLASH adalah amat tidak bertanggungjawab.

YB Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim juga mendesak supaya perbincangan pengambilalihan SPLASH hendaklah dibahas di Dewan Undangan Negeri Selangor. Namun, beliau sendiri lupa bahawa banyak perihal tawaran-tawaran beliau sendiri lakukan kepada kesemua  syarikat konsesi sejak tahun 2009, tidak langsung dibahas seperti desakan beliau mutakhir ini.

Juga begitu keputusan memulangkan kembali “non water assets” yang dimiliki oleh Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Puncak Niaga Holdings Berhad, yang merupakan nilai “substantial” berjumlah RM577 juta tidak langsung dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri Selangor.

Panel amat maklum akan kesukaran menetapkan nilai kepada semua pihak yang terlibat di dalam usaha Penstrukturan. Walaupun YB Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim mendakwa beliau menawarkan nilai ekuiti kepada SPLASH hanya RM250juta, tetapi Panel mendapati nilai ekuiti sebenar yang ditawarkan oleh YB Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim kepada SPLASH secara bertulis pada tahun 2009 adalah jauh lebih tinggi iaitu RM1.579billion.

Panel sekali lagi tegaskan akan kesukaran untuk menetapkan satu cara penentuan penilaian yang sama untuk mencapai keadilan buat semua pemilik konsesi kerana pelbagai faktor-faktor perbezaan sejarah pengkorporatan, terma-terma konsesi dan sebagainya.

Panel akan terus menekankan amalan “best practice” dilaksanakan serta merujuk amalan pakar kewangan dan korporat dalam membantu Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan penstrukturan ini.

Akhir sekali, Panel mengharapkan Kerajaan Negeri Selangor akan dapat merumuskan Penstrukturan yang adil dan munasabah berasaskan kepada prinsip keadilan, tidak membebankan rakyat dan pengguna.

Ahli-ahli Panel Air Selangor:

YB Tony Pua
Ahli Parlimen PJ Utara

YB Charles Santiago
Ahli Parlimen Klang

YB William Leong
Ahli Parlimen Selayang

YB Ir Haji Mohd Haslin bin Hassan
Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat

Dr Dzulkefly Ahmad
Pengarah Strategi
Parti Amanah Negara