Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tiada kenaikan tarif air Selangor 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

TANJUNG KARANG, 18 NOV: Tiada sebarang cadangan di peringkat Kerajaan Negeri untuk menaikan kadar tarif air di Selangor, bagi tempoh 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun proses rundingan pengambilalihan saham Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) belum selesai, namun Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menaikkan kadar tersebut.

“Belum ada sebarang keputusan muktamad. Justeru tidak timbul isu kenaikan tarif air.

img_20161118_133856_009“Saya telah memberi jaminan, apa juga perbincangan dengan pihak SPLASH, ia mesti meletakkan kepentingan pengguna terlebih dahulu.

“Kita mahu jaminan pengguna domestik di negeri Selangor itu terpelihara kerana ini keutamaan kita di Selangor,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail yang mendedahkan kononnya cadangan kenaikan tersebut akan diputuskan selepas pemeteraian pengambilalihan SPLASH selesai.

Beliau dilaporkan berkata, peningkatan tarif itu juga memungkinkan rakyat di negeri itu terpaksa menanggung kos tarif air RM1,200 setahun sekiranya Kerajaan Negeri tetap dengan keputusan menawarkan RM2.7 bilion untuk mengambilalih ekuiti SPLASH.

Terdahulu, Mohamed Azmin ditemui selepas hadir menyerahkan bantuan baik pulih masjid dan sekolah rendah agama negeri di Masjid Kampung Haji Razali, di sini, hari ini.

-NFN-