Categories
SELANGOR

Isu Splash: Tawaran Khalid RM2.975 bilion termasuk ekuiti

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 NOV: Tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (Splash) bernilai RM2.975 bilion dikemukakan mantan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2009 termasuk nilai ekuiti RM1.579 bilion.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Nor Azmie Diron berkata, berpandu kepada surat tawaran dan rekod, ia bertentangan kenyataan diberikan Abdul Khalid berhubung perkara itu.

“Kenyataan ini (dibuat Abdul Khalid) tidak benar sama sekali kerana surat tawaran untuk Splash pada 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009 bernilai RM2.975 bilion dengan jelas termasuk nilai ekuiti.

“Butiran mengenai tawaran ini dibentangkan di Mesyuarat Dewan Negeri Selangor pada 9 November 2009,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri membuat kenyataan balas itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Abdul Khalid dalam wawancara ekskusif bersama sebuah media, semalam.

“Isu menjadi kontroversi apabila diperkatakan Dato’ Menteri Besar sekarang, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (bahawa) pada 2009 iaitu dalam tawaran kedua, saya menawarkan RM2.9 bilion untuk Splash. Pada masa itu, oleh kerana kita mengambil formula Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), kita tidak tawar ekuiti. Pada masa itu, tidak ada perkataan ekuiti. Dan tawaran tersebut itu sudah tidak sah lagi.

“Sepatutnya yang perlu difahami adalah proses penawaran itu, bukan angkanya. Itulah perkara ingin saya jelaskan kepada ahli Dewan Negeri Selangor, kenapa (angka) tidak konsisten dalam penawaran,” begitu kenyataan Abdul Khalid seperti dilaporkan media.

Beliau berkata, hakikatnya pentadbiran Abdul Khalid menawarkan harga tawaran RM1.579 bilion untuk mengambilalih 100 peratus ekuiti Splash dan RM1.396 bilion (nilai liabiliti).

“Walaupun ia sudah tidak sah lagi, beliau tidak dapat mempertikaikan fakta ini kerana adanya salinan surat tawaran berkenaan yang diterima pemegang saham syarikat konsesi itu pada 21 Julai 2009.

“Sudah tentu mereka tidak menerima harga tawaran lebih rendah RM250 juta yang diuar-uarkan Abdul Khalid jika harga lebih tinggi pernah ditawarkan,” katanya.

=EZY=