Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Jangan biar kartun perintah negara,” kata Zunar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Rakyat diingatkan supaya tidak terus membiarkan negara ditadbir ‘kerajaan kartun’ yang diterajui ‘pemimpin kartun’, sindir kartunis, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zunar berkata, hal itu dapat dilihat melalui tindakan kerajaan yang tidak boleh diterima akal manusia waras dan bertamadun.

Katanya, Putrajaya dipenuhi karakter kartun yang menyamar sebagai manusia hingga mengenakan undang-undang tidak sepatutnya kepada pihak atau individu tidak bersalah.

“Satu hari kalau anda berjalan di mana-mana, ada orang pukul anda tetapi orang itu tidak ditangkap, sebaliknya anda pula kemungkinan ditangkap. Inilah betapa kartunnya Malaysia ini.

“Tidak ada sejarah di dunia, pameran kartun FRU kena datang. Apa jenis kerajaan ini? Mereka tidak layak dipanggil Umno tetapi layak dipanggil kartun.

zunar-lawak-lawan“Relakah anda diperintah kartun? Tidak. Kita suka tengok kartun tetapi jangan benarkan kartun memerintah manusia, itu tidak logik,” katanya ketika perhimpunan menyambut pembebasan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah di Dataran Merdeka, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Zunar berkata, usaha membebaskan Malaysia daripada cengkaman Umno-Barisan Nasional (BN) memerlukan penglibatan semua pihak mengikut kepakaran masing-masing.

Katanya, Umno-BN masih mampu bertahan sebagai kerajaan ekoran rakyat masih tidak bangkit sepenuhnya.

Ketika menyentuh tekanan yang dihadapinya, Zunar yang berhadapan sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan berkata, beliau masih mampu berdiri menentang Umno-BN berdasarkan sokongan masyarakat.

-AA-