Categories
NASIONAL

PRU-14: Orang ramai diseru bawa 10 pengundi baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Orang ramai diminta mendaftarkan 10 orang yang layak sebagai pengundi baru menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, BERSIH 2.0 juga akan memastikan PRU-14 dijalankan secara bersih dan adil berbanding PRU lalu.

“Saya harap kita akan berkerjasama sehingga PRU-14 dengan membawa lebih ramai pengundi baru mendaftar supaya mereka boleh mengundi pada PRU-14.

“Saya harap anda semua boleh dapatkan 10 orang untuk mendaftar dan mengundi PRU-14 serta BERSIH 2.0 berjanji akan memastikan PRU-14 diuruskan dengan baik,” katanya di Dataran Merdeka, malam tadi.

Maria berkata, pelbagai perkara boleh diubah termasuk memansuhkan akta drakonian iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketika mengulas pembebasannya selepas 11 hari ditahan di bawah SOSMA, Maria percaya beliau dibebaskan atas faktor tekanan rakyat terhadap tindakan itu termasuk mengadakan perhimpunan setiap malam di Dataran Merdeka.

“Terima kasih kerana memberi sokongan. Kalau tidak kerana sokongan anda semua, tidak mungkin saya dibebaskan,” katanya.

-AA-