Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar lancar pameran 202 karya Zunar di George Town

GEORGE TOWN, 6 MEI: Sebanyak 202 karya kartunis terkenal Zunar atau nama sebenarnya Zukiflee Anwar Haque dipamerkan di Balai Seni Lukis Negeri di sini bermula hari ini hingga 28 Mei.

Zunar, yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pameran itu oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa gembira kerana akhirnya hasil karya beliau diketengahkan dalam satu pameran besar di Pulau Pinang.

“Akhirnya selepas insiden 2016 di Komtar (hasil lukisan Zunar dikeluarkan dari pameran ketika itu) , kini kembali membuat pameran.

“Ini adalah satu pameran yang sangat istimewa dengan warna istimewa dan pertama kali pameran diadakan sebesar ini dengan mempamerkan 202 karya,” katanya.

Beliau berkata kartunis sebenarnya mempunyai peranan besar dalam masyarakat dan unsur humor merupakan senjata berkesan untuk digunakan bagi memprotes sebarang isu yang tidak betul.

Terdahulu, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson dilihat sebak semasa menyampaikan ucapan ketika melihatkan hasil karya Zunar yang dipamerkan itu.

“Saya sebak dan rasa agak sentimental sedikit bila melihat karya Zunar dan bercakap kisah-kisah lalu yang kami rasai dan derita yang turut ditanggung Zunar.

“Saya dapat rasai derita yang beliau tanggung melalui lukisan ini, dan ini juga membuktikan peranan pelukis dan kartunis kepada negara. Zunar berhati mulia dan ikhlas,” katanya.

Anwar berkata, pameran karya berkenaan turut mengingatkannya kepada ‘penderitaan’ yang dilaluinya ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional.

Dalam pada itu, Anwar turut menyarankan semua balai seni lukis di setiap negeri mempamerkan karya seni kartunis Zunar.

“Zunar seorang pelukis yang mempunyai kepekaan politik mendalam terhadap isu berkaitan dengan rakyat. Pemilihan kata, pemahaman rasa dan denyut nadi rakyat digabungkan dalam satu hasil karya seni oleh Zunar. Ini sebab mengapa karya Zunar popular,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes saman Zunar-PDRM selesai

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kes saman kartunis Zunar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan secara salah serta rampasan buku juga baju-T miliknya, pada satu majlis dua tahun lalu, selesai secara baik hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Su Geok Yiam merekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya selepas Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi PRDM dan kerajaan serta peguam Latheefa Koya yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque bersetuju menyelesaikan kes saman itu.

Latheefa yang ditemui pemberita berkata. semua barang dirampas iaitu buku dan baju-T dipulangkan kepada Zunar.

Beliau berkata defendan iaitu PDRM dan kerajaan juga bersetuju membayar ganti rugi (ex gratia) kepada Zunar, namun tidak mendedahkan jumlahnya.

Zunar selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan 16 anggota polis, dua pegawai, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Zunar mendakwa majlis minum petang anjurannya di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH), pada 17 Disember 2016 diserbu polis sebelum acara bermula, pada jam 3 petang dan buku serta baju T miliknya dirampas.

Plaintif berkata, dalam serbuan itu, polis turut menangkap pembantunya dan dua orang awam yang menghadiri majlis terbabit, bagaimanapun enggan memberikan maklumat berkenaan alasan tangkapan juga rampasan.

Beliau berkata, sejumlah 1,187 naskhah buku dan 103 helai baju-T dirampas serta polis memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen).

Plaintif seterusnya menyatakan tangkapan dan rampasan itu tidak sah serta menyebabkan beliau mengalami kehilangan juga kerugian.

Sehubungan itu, Zunar menuntut ganti rugi khas RM22,388 atau secara alternatif memulangkan buku dan baju-T yang dirampas, ganti rugi penangkapan secara salah, ganti rugi kecuaian, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perisytiharan bahawa defendan memungkiri kebebasan asasi plaintif.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

“Jangan biar kartun perintah negara,” kata Zunar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Rakyat diingatkan supaya tidak terus membiarkan negara ditadbir ‘kerajaan kartun’ yang diterajui ‘pemimpin kartun’, sindir kartunis, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zunar berkata, hal itu dapat dilihat melalui tindakan kerajaan yang tidak boleh diterima akal manusia waras dan bertamadun.

Katanya, Putrajaya dipenuhi karakter kartun yang menyamar sebagai manusia hingga mengenakan undang-undang tidak sepatutnya kepada pihak atau individu tidak bersalah.

“Satu hari kalau anda berjalan di mana-mana, ada orang pukul anda tetapi orang itu tidak ditangkap, sebaliknya anda pula kemungkinan ditangkap. Inilah betapa kartunnya Malaysia ini.

“Tidak ada sejarah di dunia, pameran kartun FRU kena datang. Apa jenis kerajaan ini? Mereka tidak layak dipanggil Umno tetapi layak dipanggil kartun.

zunar-lawak-lawan“Relakah anda diperintah kartun? Tidak. Kita suka tengok kartun tetapi jangan benarkan kartun memerintah manusia, itu tidak logik,” katanya ketika perhimpunan menyambut pembebasan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah di Dataran Merdeka, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Zunar berkata, usaha membebaskan Malaysia daripada cengkaman Umno-Barisan Nasional (BN) memerlukan penglibatan semua pihak mengikut kepakaran masing-masing.

Katanya, Umno-BN masih mampu bertahan sebagai kerajaan ekoran rakyat masih tidak bangkit sepenuhnya.

Ketika menyentuh tekanan yang dihadapinya, Zunar yang berhadapan sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan berkata, beliau masih mampu berdiri menentang Umno-BN berdasarkan sokongan masyarakat.

-AA-

Categories
NASIONAL

Kartun kezaliman terhadap Anwar dipamerkan di British Cartoon Museum

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 8 DIS: Karya kartun yang menggambarkan kezaliman Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dipamerkan di British Cartoon Museum di London.

Kartunis terkenal, Zunar atau mana sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque, berkata karya beliau itu bakal dipamerkan dalam pameran sehingga Januari nanti.

300 bebas anwar3“Kita harus lakukan apa sahaja untuk membantu Anwar melawan kezaliman Umno-BN, walaupun kecil” kata pada program ‘Hari ke-300 Pemenjaraan Anwar, Rakyat Masih Bersamamu’ di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini, pada 6 Disember lalu.

Katanya, perjuangan Anwar menentang kezaliman bukan bermula sejak 300 hari lalu tetapi dimulakan sejak beliau bergerak aktif sebagai pemimpin gerakan mahasiswa.

“Anwar pernah ditahan di Pusat Tahanan Kemunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memperjuangkan nasib petani dan dipenjarakan sekali lagi pada 1998 kerana enggan akur kepada kehendak Perdana Menteri pada masa itu,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Tujuh polis serbu pejabat, Zunar masih di London

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 JAN:  Sepasukan polis hari ini menyerbu pejabat  kartunis terkenal, Zulkifli Anwar Ulhaq atau lebih dikenali sebagai Zunar.

Mugshoot Zunar“Mereka cuma mencari Zunar. Polis masih berada di pejabat,” kata sumber itu.

Kata sumber itu,  mulanya hanya dua polis yang hadir, namun kini bertambah sehingga tujuh orang.

Zunar adalah kartunis yang sering menampilkan kartun berbentuk satira dan berunsur politik.

zunar kongres ke 9 PKR 01Beliau pernah ditahan di bawah Akta Hasutan ekoran penerbitan karyanya ‘Cartoon-O-Phobia’ yang dikatakan mengandungi isu sensitif.

Antaranya termasuk isu pembunuhan Altantuya, konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu kapal selam dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Peguam: Polis ganggu pembekal buku Zunar, elak pelanggan beli

SHAH ALAM, 222 NOV: NGO Lawyers for Liberty (LFL) percaya polis mungkin cuba mengganggu dan menakut-nakutkan pembeli buku kartunis popular Zunar.

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen berkata demikian ketika mengulas tindakan polis yang cuba mendapatkan butiran pembeli buku itu daripada firma bayaran dalam talian, MOLPay Sdn Bhd.

“Mungkin mereka mahu menakut-nakutkan atau mengganggu MOLPay dan pelanggannya, supaya syarikat itu tidak menjual dan orang tidak membeli buku Zunar,” katanya yang dipetik dari Malaysiakini.

Peguam itu berkata, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk polis mendapatkan maklumat pelanggan terbabit.

Pasukan polis pada 20 November lalu meminta MOLPay, yang mengendalikan transaksi dalam talian untuk pembelian buku Zunar mendedahkan senarai pelanggan yang membeli buku ‘Komplot Penjarakan Anwar’.

Satu emel daripada MOLPay kepada kartunis itu yang nama sebenarnya Zulkiflee Anwar ul-Haque, menyatakan bahawa syarikat itu menerima surat rasmi daripada Bukit Aman untuk mendedahkan senarai itu.

Polis mendakwa, buku ‘Komplot Penjarakan Anwar’ itu mengandungi bahan menghasut.

Paulsen mempersoalkan tindakan itu kerana kesalahan yang disyaki itu dilakukan Zunar dan bukannya pembeli buku berkenaan.

“Isunya adalah sama ada kartun Zunar menghasut atau tidak,” katanya.

Categories
NASIONAL

Suaram: Hentikan gangguan & tekanan terhadap Zunar

SHAH ALAM 14 NOV: Kerajaan digesa agar menghentikan gangguan dan tekanan terhadap kartunis politik, Zulkifli Anwar Ulhaque atau dikenali sebagai Zunar.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng berkata, pihaknya menuntut agar polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegakkan hak Zunar seperti yang dijamin dalam Perlembagaan.

zunar pakatan kutip dana 01“Suaram menyeru kerajaan hentikan semua siasatan terhadap Zunar, tiga pembantunya dan tekanan terhadap pengendali laman web beliau.

“Berhenti menakutkan pencetak, penerbit, penjual dan pemilik kedai buku yang bekerjasama dengan Zunar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Yap, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara.

“Sekatan hanya perlu sekiranya sesuatu itu mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Untuk itu ia bertentangan dengan logik dan akal untuk menyatakan bahawa kartun politik Zunar boleh dikatakan sebagai memudaratkan ketenteraman awam, moral dan keselamatan negara, sudah tentu tidak,” katanya.

Pada 6 November lalu, pembantu Zunar diambil keterangan kerana menjual buku kartun kontroversi Zunar bertajuk ‘Konspirasi Memenjarakan Anwar’ dan ‘Pirate of the Carry-BN’.

Dalam tangkapan itu, sebanyak 44 buku kartun Zunar telah dirampas oleh polis dan pembantu Zunar telah disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Mesin Cetak, Akta Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948 serta Kanun Keseksaan.

Kelmarin, pengendali laman web yang menjual buku Zunar telah dipanggil ke balai polis Dang Wangi untuk disoal siasat dan Zunar juga telah dimaklumkan untuk disiasat bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan.

EZY

Categories
NASIONAL

Zunar: Undang-Undang tak boleh halang hasilkan karya ‘Kartun Kerajaan’

SHAH ALAM 14 NOV: Lebih 50 peratus hasil karya kartun yang dihasilkan Kartunis Zunar sejak 2009 memberi kesan mendalam kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga semua karyanya ditarik balik dan diharamkan.

Meskipun begitu, katanya, pihak berkuasa tidak akan berupaya menghalang beliau daripada terus mengkritik kerajaan melalui medium kartun.

Zunar n sijil abangsa“Saya hanya melukis apa yang dibuat oleh pemimpin kerajaan. Mereka buat rasuah, saya cuma kartunkan sahaja, dan bukan saya punca rasuah itu.

“Ini hak saya dan undang-undang tidak boleh haramkan pemikiran saya untuk menghasilkan karya saya dalam ‘mengkartunkan’ kerajaan,” katanya dipetik Keadilan Daily.

Zunar berkata beliau akan terus berkarya dan segala halangan tidak akan menjejaskan hasil karya beliau.

Bahkan katanya, beliau gembira apabila rakyat menerima kartun yang dihasilkan dan faham dengan mesej yang ingin disampaikan.

Zunar dalam pada itu turut mengingatkan kerajaan bahawa kartunis politik mempunyai peranan dalam sesebuah negara demokrasi, termasuk di Amerika Syarikat.

“Saya pernah dipanggil dalam forum kartunis di luar negara, ada kartunis di sana mengkritik (Barrack) Obama. Malah Presiden mereka memberi anugerah ke atas kritikan itu, bukannya mengenakan tindakan undang-undang seperti yang kerajaan Malaysia lakukan,” ujarnya.

Pada 6 November lalu, tiga pembantu Zunar ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Putrajaya kerana menjual dua buku kartun bertajuk “Konspirasi Memenjarakan Anwar” dan “Pirate of the Carry-BN “.

Pengendali laman web sesawang miliknya, www.Zunar.my turut dipanggil polis untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque sebelum ini pernah ditemuramah dalam satu forum di San Fransissco, Amerika Syarikat kerana karya yang dihasilkan.

Beliau juga merupakan kartunis Malaysia yang menerima anugerah Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011 oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa.

EZY

Categories
NASIONAL

Zunar nafi isteri ditahan jual buku sindir Institusi Kehakiman

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama): Kartunis kontroversi Zulkifli Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar hari ini menafikan isterinya ditahan di Putrajaya Khamis lepas kerana menjual buku yang menyindir institusi kehakiman dan pemimpin negara.

Zunar, 50, memberitahu Bernama, tiga orang yang ditahan polis, termasuk dua wanita, adalah pembantu jualannya.

Beliau berkata isterinya, yang tidak mahu dinyatakan namanya, pada hari kejadian berada di Port Dickson, Negeri Sembilan atas urusan kerja.

Laporan Bernama menyebut isteri Zunar adalah antara tiga yang ditahan polis di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya semasa perbicaraan kes rayuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Laporan berita Bernama menyatakan salah seorang daripada tiga yang ditahan adalah isteri saya, sedangkan mereka bertiga sebenarnya adalah pembantu jualan saya,” katanya kepada Bernama di sini Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid yang dihubungi turut mengesahkan polis tidak menahan isteri Zunar.

Sehubungan itu, Bernama memohon maaf kepada Zunar dan isterinya atas kesilapan laporan berita itu.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Zunar pertahan kartun lukisannya dalam Washington Post

Oleh : ZUNAR
 
Saya merujuk artikel yang disiar oleh The Star Online hari ini bertajuk “Local cartoonist Zunar slammed over Washington Post comic strip.” (Kartunis tempatan dihentam kerana kartun dalam Washington Post). Artikel ini adalah sebagai respon kepada kartun saya yang disiar oleh Washington Post sehari sebelum itu.
Akhbar Amerika itu menyiarkan kartun saya dalam artikel bertajuk,  “Cartoon of the day: Malaysian artist on the lost jet — and his government’s ‘weak’ response to it. (Kartun hari ini: Artis Malaysia komen mengenai kehilangan jet serta kerajaan yang ‘lemah’. (link http://www.washingtonpost.com/news/comic-riffs/wp/2014/03/18/cartoon-of-the-day-malaysian-artist-on-the-lost-jet-and-his-governments-weak-response-to-it/)
Dalam kartun tersebut yang disiar oleh web portal Malaysiakini dan diikuti oleh blog saya (www.zunar.my), saya berpendapat bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib Razak sangat lemah dalam menangani tragedi yang menimpa kapal terbang MH370.
The Star Online melaporkan kenyataan Ketua Politik, Keselamatan dan Ehwal Antarabangsa Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak bahawa kenyataan saya itu “tidak sensitive dan misleading” serta “hanya spekulasi dan tuduhan liar.”(Link: http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/03/19/Zunar-washington-post/)
Saya memahami sesetengah ahli akademik kerjanya membela Perdana Menteri, tetapi Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa nampaknya tidak cukup membaca sebelum dia membuka mulut. Sebagai makluman, saya membuat kesimpulan yang kemudian diterjemah dalam kartun hasil dari pembacaan serta analisis yang bukan saja diperolehi bmelalui media perdana tempatan saja, tetapi melalui puluhan media antabangsa lain juga.
Jika Prof Datuk Dr. Mohamed Mustafa menonton dan membaca CNN, Al Jazeera, Washington Post, Jakarta Post, South China Morning Post sebagai contoh, pasti akan terbaca bagaimana China, Amerika dan Vietnam sangat kecewa dengan Malaysia yang didakwa tidak berkongsi maklumat. Semalam Indonesia juga melahirkan kekecewaan yang sama.
Beberapa jam lepas, BBC melaporkan bahawa kaum keluarga penumpang di China mengugut untuk melancarkan mogok lapar sekiranya pihak berkuasa Malaysia gagal untuk memberi mereka sebarang maklumat tepat mengenai MH370.
Saya tidak menyatakan bahawa kita harus percaya segala laporan media luar negara, tetapi pemahaman kita akan menjadi sangat cetek jika kita hanya membaca akhbar arus perdana.
Saya ingin menegaskan sekali lagi kenyataan saya bahawa Najib adalah pemimpin yang “terlalu lemah.” Tun Dr Mahathir (ini tidak bererti saya suka kepada beliau) akan memberi komen dan arahan jelas mengenai isu ini hampir setiap hari sekiranya ia berlaku di era beliau.
Tetapi Najib tidak hanya melepaskan tanggungjawab ini kepada seorang lagi menteri “tidak upaya” Hishammuddin Hussein, tetapi mengambil masa tujuh hari sebelum membuka mulut untuk mengadakan sidang akhbar, itu pun tidak berani berhadapan wartawan dengan enggan menjawab sebarang soalan.
Saya pertahan pandangan saya dalam Washington Post bahawa sidang akhbar oleh Najib itu hanya “wayang” untuk mendapat keuntungan politik. Sikap Flip-flop dalam pembatalan di saat akhir satu lagi sidang akhbar yang dijadual tiga jam selepas itu menggambarkan kelemahan pentadbiran beliau. 
Sebagai kartunis, tugas saya ialah memberi sudut pandangan yang berbeza supaya pembaca mendapat perspektif yang lebih baik bagi pendebatan yang sihat.
Falsafah kartun “how can I be neutral, even my pen has a stand” menghendaki saya mempunyai etika berkartun dalam menyampaikan mesej dan pandangan. Saya membuat banyak kajian dan mengumpul seberapa banyak maklumat dari perspektif yang berbeza.
#Zunar adalah kartunis politik yang pernah ditahan di bawah Akta Hasutan kerana melukis kartun. Tujuh buku beliau diharam oleh kerajaan.  Zunar adalah penerima anugerah “Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011” oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis, Washington.
Categories
NASIONAL

Tanpa ‘CIMB’, BN Sudah Tumbang

zunar kongres ke 9 PKR 01

PETALING JAYA 25 MEI: Tanpa bantuan dan sokongan ‘CIMB’ berkemungkinan besar Barisan Nasional (BN) sudah tumbang dan hanya akan memperolehi 30 peratus sahaja undi popular, tegas kartunis politik Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar.

“CIMB! ya rakyat perlu tolak C-Cambodia, I-Indonesia, M-Mynamar dan B-Bangladesh,” katanya yang diikuti gelak tawa para perwakilan.

Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira 2,070 perwakilan dan pemerhati dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini sambil meminta rakyat menolak ‘CIMB’.

Beliau yang dijemput khas untuk memberi ucapan di dalam kongres pada mulanya membuatkan para hadirin tercengang sebaik menyebut rakyat harus tolak ‘CIMB’.

Tegasnya dalam sejarah perjuangan tidak ada sebuah kerajaan boleh bertahan tanpa sokongan majoriti rakyatnya.

“BN sedang menghadapi barah tahap ke-empat di mana hanya menunggu untuk dibedah dan disemadikan,” kata Zunar.

Beliau bersama-sama barisan kartunis berjuang secara kreatif melalui kartun untuk menumbangkan kerajaan BN.

“Kenapa kita berjuang dengan kartun, sebab kerajaan sekarang adalah kerajaan kartun yang menyamar sebagai manusia.

“Kita banyak gunakan karikatur yang gelak berguling-guling sebab lepas gelak kita akan gulingkan kerajaan BN,” katanya beliau.

Categories
NASIONAL

Rakyat Disarankan Hayati Karya Kartun Zunar

SHAH ALAM, 1 SEPT : Rakyat Malaysia khususnya di Selangor disarankan untuk menghayati karya kartunis terkenal, Zulkiflee Anuar Ulhaq atau Zunar dengan lebih dekat menerusi pameran solonya di Galeri Shah Alam bagi memahami keadaan politik semasa.

Demikian saranan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa menghadiri majlis perasmian Pameran Solo Kartunis Zunar di sini pagi tadi.

Menurut Abdul Khalid, pameran ini perlu dikunjungi masyarakat seluruh Malaysia untuk merasakan jiwa kartunis dari aspek intepretasi mereka berhubung politik negara dan pendedahan penyelewengan yang perlu dibetulkan.

Katanya, Zunar merupakan antara kartunis yang konsisten serta komited dalam usahanya menyalurkan mesej kepada masyarakat secara sinis mengenai perubahan yang perlu dibuat.

“Walaupun Malaysia tidak memberi pengiktirafan kepada Zunar tetapi dunia luar telah begitu banyak beri pengiktirafan kepadanya. Beliau memenangi anugerah dunia melalui peranan kartunis di Washington yang mana mengiktiraf beliau sebagai pemangkin perubahan mesyarakat.

“Saya berharap semua masyarakat mengambil kesempatan ini untuk melihat pameran yang ditunjukkan. Selain itu, kita juga berharap usaha ini akan dilakukan secara berterusan sebagai pembuka jalan kepada rakan-rakan kartunis lain untuk meneruskan perjuangan seni bagi membawa perubahan kepada masyarakat,” katanya.

Pameran kartun solo bertajuk “Zunar” bertempat di Galeri 1, Galeri Shah Alam itu dijadualkan berlangsung bermula 1 hingga 9 September depan.

Pameran itu julung kali diadakan Zunar di tanah air setelah membuat dua pameran di Bilbao, Sepanyol dan London bertemakan “Berjuang Melalui Kartun.”

Sebanyak 147 buah karya dipamerkan di mana kesemuanya berkisarkan senario politik Malaysia yang dihasilkan dari tahun 1999 sehingga kini.

Pameran yang merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor ini dibuka setiap hari kepada orang ramai dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan beliau telah menemui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi penjelasan berhubung sambutan Hari Kemerdekaan ke -55 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang diadakan baru-baru ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri lazimnya mengadakan pertemuan bersama Tuanku Sultan dari semasa ke semasa antara lainnya bagi membincangkan mengenai pentadbiran negeri.