Categories
NASIONAL RENCANA

Jika Ola Bola tarik diri Olimpik, Harimau Malaysia mesti berani boikot AFF

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

Masih teruja aksi hebat filem Ola Bola? Pasti teringat babak akhir ketika pasukan negara layak ke Sukan Olimpik di Moscow. Namun atas semangat kemanusiaan Malaysia menarik diri daripada kejohanan itu membantah pencerobohan Soviet Union terhadap Afghanistan.

Keringat dan semangat untuk layak bukan kepalang. Anak buah Karl Heinz Weigang berjaya menumpaskan Korea Selatan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun, mengalahkan Brunei 3-1, menumbangkan Indonesia 6-1 dan membelasah Filipina 8-0 di peringkat kumpulan.

Fakta di atas sudah cukup membuktikan status jaguh Asia disandang Malaysia pada ketika itu yang juga kuasa besar bola sepak digeruni bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara tetapi di peringkat Asia.

Namun begitu, kejayaan skuad bola sepak melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu tetap terpahat dalam lipatan sejarah dan dikenang sebagai antara pencapaian terbaik Malaysia.

Kisah keberanian memboikot temasya di Moscow itu juga terus menjadi ingatan generasi seterusnya sehingga kini. Kita lebih teruja kisah keberanian memboikoi itu lebih daripada layak ke Sukan Olimpik.

Kekejaman Junta Tentera Myanmar

Sejak lebih kurang sebulan alu, keganasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar kembali memuncak. Imej satelit menunjukkan banyak rumah dan perkampungan dibakar.

Kajian International State Crime Initiative di Queen Mary of London mengemukakan bukti bahawa pembunuhan, penderaan, rogol, penahanan sewenang-wenangnya, dan propaganda kebencian terhadap agama etnik Rohingya di Myanmar sedang berlaku secara berleluasa

save-the-rohingya-fb-imageLaporan media antarabangsa menyatakan angka korban masyarakat Rohingya semakin meningkat. Sementara kira-kira 160,000 penduduk Rohingya yang sepatutnya menerima bantuan makanan serta perubatan terputus bekalan berkenaan.

Jurucakap Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan di Myanmar, Pierre Peron berkata, disebabkan itu, lebih 3,000 kanak-kanak berusia kurang lima tahun gagal menerima rawatan kerana kekurangan zat makanan, menyebabkan 50 peratus daripadanya berdepan risiko meninggal dunia.

Apa Yang Boleh Kita Lakukan?

Kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira agama dan bangsa, kita perlu terus bersuara untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap krisis kemanusiaan yang sedang melanda bangsa Rohingya.

Ambil bahagian dalam acara atau wacana yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hulurkan bantuan dari sudut tenaga, kepakaran dan kewangan dalam apa-apa inisiatif untuk membela golongan pelarian di negara ini.

Dengan kesedaran dan mobilisasi masyarakat sivik yang mendokong kemanusiaan dan cintakan kedamaian, banyak perubahan yang dapat kita capai.

Hulurkan bantuan dan sumbangan kepada pihak yang memerlukan. Gerakkan tabung bantuan kemanusiaan dan mendesak kerajaan untuk proaktif dalam isu kemanusiaan ini.

Piala AFF: Boikot perlawanan menentang Myanmar

aff-suzuki-cup-2016Kita cukup bersetuju dengan cadangan selepas perarakan masuk Harimau Malaysia ke padang bersama bendera fair play, selepas sesi bersalaman dengan pemain dan pengadil, selepas sesi bergambar, pasukan negara menarik diri daripada perlawanan tersebut sejurus wisel permulaan ditiupkan.

Dengan ini kita boleh membuka sedikit mata dunia untuk lebih prihatin dan cakna isu kemanusiaan yang berlaku di sana. Tindakan Harimau Malaysia ini lebih diingati dan bermakna untuk ingatan generasi masa hadapan bahawa pasukan negara punyai keberanian hebat tatkala ranking di peringkat dunia merudum.

Jika ‘Ola Bola’ berani boikot maka Harimau Malaysia mesti menunjukkan belang dan keberanian sebenar. Bukan sekadar berani di padang malahan berani menjadi jurubicara kemanusiaan dan persaudaran di peringkat antarabangsa.

* MOHD EZLI MASHUT adalah Penolong Pengarang Portal SelangorKini