Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JMG laksana kajian lanjut kawasan tanah runtuh Serendah

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi menentukan status dan tahap keselamatan di kawasan kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, esok.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, pihak berkuasa terbabit akan menjalankan pemeriksaan daripada segi pemetaan geologi dan geofizik mengenai karektor tanah di situ.

“JMG akan melihat sama ada berlaku pergerakan dan aliran air di bahagian bawah. Setakat ini tidak berlaku sebarang pergerakan tanah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

tanah-runtuh2Beliau berkata, bagaimanapun Jabatan Pengairan dan Saliran telah melakukan pemetaan kawasan bencana menggunakan kaedah ‘Drone Video Mapping’ selain kerja cerapan juga selesai dijalankan, pada 27 November lalu.

Katanya, laporan awal pemetaan dijangka siap petang ini dan akan dikemukakan bersama laporan JMG kepada Jabatan Kerja Raya.

“Kerja pembersihan tapak setakat ini mencapai 20 peratus dan akan bersambung hari ini, namun kerja penanaman cerucuk selesai sepenuhnya.

“Bahan bekalan pasir dan batu ‘rockfill’ diperlukan juga telah ada selain kerja pemasangan seperti ‘gabion’ di belakang ‘sheetpile’, ‘u-shape culvert’ di kawasan aliran bawah tanah, kerja ‘clearing’ di kawasan depan ‘sheetpile’ selain pemasangan ‘geotextile’ dan bahan lain,” katanya.

img_5386Katanya, kontraktor juga akan mengeluarkan empat kenderaan yang masih berada di kawasan kejadian ekoran tiada pergerakan tanah berlaku.

Beliau berkata, tiga keluarga yang masih belum mendaftar diri kepada Unit Bencana Hulu Selangor diminta berbuat demikian bagi melancarkan operasi menyelamat.

Setakat ini, terdapat 27 keluarga dengan jumlah 133 mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama, di sini.

Mereka adalah sebahagian mangsa yang mendiami kawasan Taman Idaman yang mengalami runtuhan tanah, pada 26 November lalu.

-NFN-