Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja baik pulih tanah runtuh dijangka berakhir seminggu

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Operasi pembersihan dan baik pulih kawasan tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, berjalan lancar dan dijangka berakhir hujung minggu ini.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan semasa dan cuaca serta akan berjaya diselesaikan mengikut perancangan ditetapkan jika tiada sebarang gangguan berlaku.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, setakat ini segalanya adalah baik dan kerja baik pulih dijangka dapat dijalankan dengan lancar.

img_9334“Daripada segi keselamatan segalanya terkawal dan setakat ini tiadak pergerakan tanah di permukaan atas.

“Oleh kerana itu, semua kenderaan masih di tempat kejadian bakal dikeluarkan dan proses pembersihan akan berjalan lancar selepas itu,” katanya dalam sidasng media, di sini, hari ini.

Berdasarkan kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR), kerja pembaikan di kawasan itu mengambil masa kira-kira seminggu daripada hari kejadian, pada 26 November lalu.

Pemeriksaan pihak berkuasa setakat ini mendapati tiada pergerakan tanah di bahagian atas tetapi pemeriksaan lanjut akan dijalankan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi menentukan tahap keselamatan di situ.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, laporan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat JKR dan JMG bagi menentukan status juga tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

img_9338“Sekiranya ia diisytiharkan selamat, maka semua penghuni ditempatkan di pusat penempatan sementara akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Jika sebaliknya, kita akan memikirkan alternatif lain,” katanya.

Setakat ini, seramai 133 mangsa ditempatkan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, di sini dan mereka adalah sebahagian daripada 63 keluarga yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Berikutan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengisytiharkan kawasan kejadian sebagai kawasan larangan Zon Merah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam sejak hari kejadian.

-NFN-