Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Runtuhan depan mata, penunggang motosikal cedera ringan

OLEH HAFIZAN TAIB

SERENDAH, 28 NOV: Kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, di sini, pada 26 November lalu, memusnahkan deretan gerai makanan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di seberang jalan kawasan perumahan berkenaan.

Salah seorang peniaga, Ishak Ali, 48, memaklumkan kejadian pada kira-kira jam 1 pagi itu berlaku di depan matanya sejurus beliau sampai di situ, dari Rawang.

“Biasanya kawasan di situ terang tetapi gelap ketika itu dan saya lihat tiang elektrik tumbang.

ishak“Keadaan terjadi pantas dengan jalan terbelah, pokok tumbang, gerai dan semua yang lain jatuh tetapi saya bernasib baik kerana selamat,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau ditemui di pusat penempatan sementara di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, di sini, bersama beberapa mangsa lain yang turut ditimpa musibah berkenaan.

Ishak yang sudah menetap dan berniaga lebih 10 tahun di situ menjelaskan semua empat gerai makanan termasuk yang disewanya daripada MPHS musnah dan sedikit sebanyak menjejaskan mata pencariannya.

Katanya, beliau sekeluarga akan berkampung di sekolah itu sehingga mendapat arahan dibenarkan pulang ke rumah sendiri selepas kerja baik pulih selesai.

mangsa-tertimbusManakala, Mohd Fareez Hanuddin, 21, pula mengalami kecederaan kecil di bahagian pergelangan tangan dan kaki akibat terseliuh apabila terjatuh di kawasan tanah runtuh berkenaan.

“Saya terjatuh ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari kerja. Kawasan di situ tidak seperti biasa kerana gelap dan apa berlaku agak pantas dan saya gagal mengelak daripada jatuh ke dalam runtuhan itu,” kata pekerja pusat gimnasium itu.

Bagaimanapun, Fareez diselamatkan orang ramai dengan cepat serta mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang dan hanya motosikalnya sahaja yang musnah dalam kejadian itu.

Sementara itu, pengusaha bengkel, Azzahar Alif Abdullah, 44, berkata kemudahan di pusat penempatan itu baik, namun beliau dan keluarga tidak pasti berapa lama mereka akan ditempatkan di situ.

“Pihak berkuasa berkaitan memberikan kerjasama baik, namun kejadian itu agak menjejaskan kerja saya yang mengusahakan bengkel membaiki kenderaan secara sendiri.

“Ini kerana tak pasti berapa lama dan diharap segalanya berakhir dengan cepat,” kata bapa tujuh anak itu.

-NFN-