Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kes denggi turun 12% seluruh negara

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Kes demam denggi menunjukkan penurunan 12 peratus (12,295 kes) iaitu 90,506 kes denggi membabitkan 214 kematian direkodkan di seluruh negara bagi Januari hingga 5 November lalu berbanding tempoh sama iaitu 102,801 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan MalaysiA (KKM), Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pemantauan KKM terdapat tren penurunan bagi jumlah kes demam denggi dalam tempoh tiga minggu iaitu pada minggu ke-44.

“Dari 30 Oktober hingga 5 November lalu, sebanyak 1,263 kes dilaporkan berbanding 1,353 minggu sebelumnya iaitu penurunan 90 kes (6.7%).

Dr_hisham“Manakala, terdapat lima negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pahang, Johor, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, lokaliti wabak dan ‘hotspot’ juga menunjukkan pengurangan pada minggu ke-44 berbanding minggu sebelumnya iaitu 438 lokaliti wabak dan 46 lokaliti hotspot.

Bagaimanapun, Selangor masih mencatatkan lokaliti ‘hotspot’ tertinggi sebanyak 36 berbanding negeri lain.

Pada masa sama, bilangan kes zika masih kekal tujuh kes sejak dilaporkan dari 1 September sehingga 5 November lalu, namun aktiviti pencegahan kes zika dan denggi terus dijalankan.

“Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan zika turut diadakan di peringkat sekolah rendah dan menengah menerusi Kelab Doktor Muda.

“265 sekolah rendah dan 180 sekolah menengah mengadakan aktiviti ‘bacaan umum’ bersama rakan sebaya mengenai bahaya zika, manakala 192 sekolah rendah dan 116 sekolah menengah telah mengadakan aktiviti gotong-royong memusnahkan tempat pembiakan jentik-jentik di persekitaran sekolah,” katanya.

-NFN-