Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar Filipina lakar kejayaan cemerlang UPSR

OLEH SYASYA SUFIAN

KUALA LANGAT, 21 NOV: Semangat jihad berterusan seorang pelajar Filiphina dalam mempelajari pembelajaran dan budaya yang baru membuahkan hasil apabila berjaya mencipta kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ahmed Gonzales Galender,12, yang hadir menerima anugerah cemerlang di DUN Sijangkang berasa gembira dengan keputusan 5A dalam UPSR walaupun beliau baru menetap di Malaysia tiga tahun.

“Guru, rakan dan ibu bapa merupakan pembakar semangat untuk saya belajar berbahasa Melayu dengan fasih seterusnya ke mata pelajaran yang lain.

img_20161121_094206 “Saya dan keluarga berpindah ke Malaysia ketika umur saya 10 tahun dan pada waktu itu tidak tahu langsung bercakap bahasa Melayu apatah lagi membaca. Namun, tekad guru yang tak pernah putus asa mendidik akhirnya saya dapat memberikan keputusan yang cemerlang buat mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi saintis.

Guru Matematik Sekolah Kebangsaan Teluk Panglima Garang, Saiful Anuar Basiran berkata, beliau berasa amat bangga dengan pencapaian muridnya itu walaupun penulisan Ahmed hanya mendapat keputusan C, namun mata pelajarannya yang lain semua A.

“Ketika saya menjadi guru matematiknya pada 2014, hari-hari beliau menangis dan sedih kerana tidak faham pengajian di sini. Bapanya juga menyerahkan seluruh kepercayaan kepada sekolah ketika itu untuk mendidik anaknya.

“Apabila saya melihat tekad beliau belajar dan saya suruh dia bergaul dengan anak Melayu, tidak sangka akhirnya membuahkan hasil. Saya juga ada meminta guru agama di sekolah untuk mengajar beliau bab agama dan mengaji,” katanya kepada Selangor Kini.

img_20161121_094141Sementara itu, Anis Sofea Hasan Parid, 12 dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Kebun Baru pula merupakan pelajar terbaik Mumtaz DUN Sijangkang, tahun ini.

Katanya, setiap malam beliau tidak tinggal untuk mengulang kaji dan menghafaz al-quran.

“Apa yang penting untuk kita berjaya adalah solat perlu jaga dan kalau nak dapat lebih, perbanyakkan solat sunat kerana itu yang selalu dipesan mak ayah dan guru di sekolah,” katanya.

-NFN-