Categories
SELANGOR

Khalid perlu jelaskan isu tawaran RM2.9 bilion

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 NOV: Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjelaskan kepada rakyat ekoran tindakan beliau menawarkan RM2.9 bilion bagi tujuan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nilai terbabit berbeza daripada nilai RM250 juta yang diumumkan Abdul Khalid ketika menduduki jawatan pemimpin tertinggi negeri itu.

“Apa yang saya dedahkan dalam dewan adalah hipokrasi Abdul Khalid. Di luar dia sebut RM250 juta tetapi dia sendiri menulis surat kepada SPLASH menawarkan RM2.9 bilion,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Justeru, katanya, Abdul Khalid perlu bertanggungjawab terhadap apa yang diputuskan ketika menduduki kerusi Menteri Besar.

Katanya, SPLASH ketika menyambut tawaran RM2.9 bilion itu mengambil keputusan untuk menerimanya dan memaklumkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bahawa Abdul Khalid dan SPLASH sudah mencapai persetujuan nilai tawaran terbabit.

Sebelum ini, Abdul Khalid menafikan pentadbirannya menawarkan RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti SPLASH antara 2008 dan 2014 seperti didakwa Mohamed Azmin.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan dibuat bagi mengalihkan perbincangan berkenaan keputusan pentadbiran Mohamed Azmin untuk membayar RM2.7 bilion ke atas ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal berjumlah RM250.6 juta.

-AA-