Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kos kerugian tanah runtuh, harta awam masih disiasat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SERENDAH, 27 NOV: Jumlah dan kos kerugian keseluruhan susulan kejadian tanah runtuh di Taman Idaman di sini, masih dalam siasatan, kata Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritenden R Supramaniam.

Dalam perkembangan terkini, dilaporkan 118 mangsa membabitkan 24 keluarga telah melapor diri di pusat pemindahan Sekolah Rendah Agama Serendah, sehingga jam 10 pagi ini.

“Hasil pemeriksaan pihak kami, tiada lagi keluarga yang masih tinggal di kediaman masing-masing. 64 keluarga yang diarahkan berpindah telah mengosongkan kediaman mereka sejak semalam.

“Daripada jumlah itu, tidak semua keluarga menginap di pusat pemindahan kerana ada antara keluarga yang menetap di rumah saudara atau keluarga terdekat,” katanya pada sidang medianya.

img_5359Dilaporkan 31 keluarga tidak menginap di pusat pemindahan selepas operasi dibuka sejak semalam.

Sementara itu, hasil tinjauan SelangorKini di pusat pemindahan pagi ini mendapati, penyediaan bekalan makanan, air dan kemudahan elektrik pulih seperti biasa selepas kemudahan tersebut terputus susulan kejadian tersebut, semalam.

Terdahulu, dalam kejadian jam1 pagi Sabtu lalu, seorang penunggang motorsikal, Mohd Fareez, 21 cedera dan dihantar ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam sejak semalam.

Sehingga kini keluasan tanah runtuh dilaporkan berkeluasan 150 meter dengan kedalaman 10-15 meter sementara 600 meter keluasan persekitaran diletakkan di bawah paras merah.

Sebelumnya, dilaporkan pengairan air dalam tanah menjadi punca berlakunya runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

=EZY=