Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FOMCA: Wujudkan dasar elak kenaikan harga makanan jika harga gula naik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Gabungan pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) mahu Kerajaan Persekutuan mewujudkan dasar baru bagi menangani isu kenaikan harga makanan sekiranya harga gula dinaikkan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan harga gula bakal menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikan harga makanan sekaligus membebankan pengguna.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memantau pengusaha makanan dari menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menjangkakan kenaikan harga makanan berlaku, harap KPDNKK ambil tindakan, kalau peniaga ambil kesempatan naik harga harga sewenang-wenangnya, gunakan akta pencatutan.

YUSOF FOMCA“Malah, kerajaan perlu wujudkan dasar baru kepada peniaga restoren sebagai contoh kenaikan hanya berlaku pada minuman yang bergula sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa yang sama, Yusof mahu kenaikan terbabit tidak membebankan pengguna dan tidak mendadak.

Katanya, dari sudut positif, pengurangan gula dalam makanan adalah usaha yang baik bagi mengelakkan masalah kesihatan.

“Kerajaan perlu wujudkan kempen kesedaran tentang pengambilan gula dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh menggunakan jenis gula yang lain sebagai alternatif gula sedia ada,” katanya.

Khamis lalu, Kerajaan sedang mengkaji permintaan pengeluar gula bagi menaikkan harga gula berikutan kos gula mentah yang semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perbincangan mengenai perkara itu telah dilakukan sejak sebulan lalu.

Hamzah diminta mengulas kenyataan MSM Malaysia Holdings Bhd yang meminta kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 peratus kerana kos gula mentah dikatakan meningkat 40 peratus sejak awal tahun ini serta memberi kesan terhadapt margin syarikat.

Beliau berkata harga pasaran gula dunia kini mencecah US$0.26 sen (US$1=RM4.40) bagi satu paun (1PAUN=0.5KG) berbanding US$0.16 Sen pada 2013.

=EZY=