Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Laporan Ketua Audit Negara buktikan Selangor amal urus tadbir terbaik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 22 NOV: Laporan Ketua Audit Negara terbaru membuktikan keberkesanan kepemimpinan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan urus tadbir, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, segala pujian juga wajar ditujukan kepada penjawat awam Selangor yang sentiasa bertungkus lumus memberikan yang terbaik.

Katanya, laporan itu sekaligus menepis tohmahan pihak tertentu mengenai urus tadbir negeri.

“Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 memberi pujian baik terhadap prestasi kewangan Kerajaan Selangor dan sangat baik bagi prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) di Selangor.

“Pada masa sama, saya berterima kasih terhadap segala teguran dan syor demi meningkatkan lagi mutu pentadbiran negeri ke arah lebih baik,” katanya.

lkan-sel1Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 mendedahkan Selangor berjaya mencatat peningkatan sebanyak RM57.71 juta berbanding tahun sebelumnya, RM3.2 bilion.

Pada 2015, Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangannya dengan surplus berjumlah RM393.24 juta berbanding RM111.94 juta pada tahun 2014.

Jumlah itu merangkumi nilai keseluruhan penyata kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir sehingga 31 Disember 2015.

Bagaimanapun, jumlah pelaburan negeri menurun kepada RM92.89 juta dan berlakunya peningkatan Hutang Awam kepada 7.4 peratus serta kejayaan pembayaran balik Hutang Awam sebanyak 22.8 peratus.

=EZY=