Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LZS sedia RM10.9 juta biayai persiapan sekolah 94,391 anak asnaf

OLEH NAEEM RAFFI

HULU SELANGOR, 17 NOV : Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM10.9 juta kepada 94,391 anak-anak fakir dan miskin seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali berkata, bantuan tersebut membabitkan anak-anak asnaf di peringkat pra sekolag sehingga sekolah menengah.

Katanya, menerusi peruntukan tersebut, setiap penerima akan menikmati bantuan yuran RM75 seorang bagi semua peringkat persekolahan.

ketua-pegawai-eksekutif-lzs-hussin-mohd-ali“Manakala bagi kelengkapan persekolahan, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan menerima bantuan RM170 dan pelajar sekolah rendah agama RM150.

“Sementara bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan pula menerima RM200 dan RM75 bagi pra sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Program Agihan Bantuan Pendidikanyang disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia, Mohamad Adzib Mohd Isa di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 257 asnaf fakir dan miskin di Daerah Hulu Selangor menerima bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan 2017 membabitkan agihan zakat RM146,320.

Hulu Selangor adalah lokasi pertama majlis penyerahan bantuan dibawah Program Pembangunan Pendidikan LZS sebelum berakhir pada 14 Disember ini membabitkan 16 program di seluruh Selangor.

Mengulas lanjut, Hussin berkata setiap penerima bantuan boleh mendapatkan kelengkapan persekolahan di Pasar Raya Sakan, Maydin dan Jakel terpilih sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

“LZS juga melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) untuk menyediakan 30,000 pasang pakaian sekolah bagi menampung keperluan pelajar asnaf di tiga daerah membabitkan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang,” katanya.

-nR-