Categories
SELANGOR

Mangsa air laut pasang besar terus disantuni

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 16 NOV: Seramai 15 keluarga di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sungai Tengar Utara dipindahkan ke pusat pemindahan banjir Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar, semalam.

Exco Kebajikan, Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, mangsa dipindahkan awal pagi semalam apabila sekali lagi kediaman mereka dinaiki air seperti bulan lepas.

“Persiapan awal dilakukan semua agensi terlibat di pusat pemindahan dan pemantauan secara berterusan dilakukan dari masa ke masa demi menjadikan rakyat sebagai keutamaan.

“Penduduk juga menyatakan rasa selesa dan berpuas hati untuk tinggal sementara di pusat pemindahan.

mangsa-banjirDaroyah berkata, Kerajaan Negeri bersama Unit Bencana dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor menyampaikan sumbangan barangan dan peralatan keperluan asas kepada mangsa bagi meringankan beban mereka.

Dalam pada itu, Daroyah turut ke pusat pemindahan di Kampung Tok Muda bagi melihat keadaan dan keperluan mangsa di sana.

“Alhamdulillah mangsa air pasang kelihatan positif, bagai mengadakan acara berkelah bulanan bersama jiran tetangga ceria sambil menjamu selera.

“Mereka turut bergotong royong masak untuk makan malam bersama.

Manakala, seramai 27 lagi keluarga dari Kampung Batu 4 dipindahkan sementara di Dewan Palembang Kampung Rantau Panjang.

Difahamkan, mangsa dibenarkan pulang hari ini jika tiada sebarang masalah dilaporkan.

EZY