Categories
SELANGOR

Mangsa tanah runtuh, Selangor tawar PPR percuma

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 NOV : Kerajaan Negeri menawarkan penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sementara secara percuma kepada mangsa runtuhan tanah di Taman Idaman, di sini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) akan menguruskan penempatan tersebut.

“Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri memerlukan sedikit masa untuk memastikan unit PPR itu sesuai didiami,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Terdahulu, 128 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Rendah Agama Serendah membabitkan 26 buah keluarga.

img_917232 keluarga dilaporkan tidak menginap, sementara satu lagi keluarga dihantar ke hospital susulan masalah kesihatan.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengisytiharkan kawasan tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di sini sebagai kawasan larangan Zon Merah.

Ia susulan kejadian runtuhan tanah yang membentuk sebuah lubang berkeluasan 150 meter dengan kedalaman 10-15 meter sementara 600 meter keluasan persekitaran diletakkan di bawah paras merah.

Dalam kejadian jam 1 pagi Sabtu lalu, seorang penunggang motorsikal, Mohd Fareez, 21 cedera dan dihantar ke Hospital Selayang bagi rawatan lanjut.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dengan operasi pemantauan dan kerja pembaikan dijalankan 24 jam sejak semalam.

Sebelumnya, dilaporkan pengairan air dalam tanah menjadi punca berlakunya runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

-nR-