Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Manivannan saman portal media, lapor cadang halal industri pelacuran

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 NOV: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan nekad mengemukakan tindakan saman terhadap sebuah portal media berbahasa Cina yang melaporkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata, media berkenaan kononnya melaporkan pimpinan KEADILAN itu mencadangkan supaya aktiviti pelacuran dibenarkan di negara ini.

“Perenggan pertama yang mengaitkan diri saya dalam berita itu melaporkan bahawa saya mencadangkan kerajaan membenarkan industri pelacuran dalam negara.

Manivanan-Gowin-4a“Laporan itu mendakwa, kononnya cadangan ini boleh menambahkan pendapatan rakyat Malaysia dengan menggadaikan tubuh badan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini dan ia adalah fitnah, bahkan saya tidak pernah menyebutnya sama ada di dalam atau di luar dewan,” katanya.

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN itu berkata demikian dalam sidang medianya di Lobi Parlimen, semalam.

Manivannan tidak menamakan butiran lanjut nama media berkenaan.

Bagaimanapun, Manivannan berkata, hasil semakan terkini mendapati laporan berita atas talian itu telah dipadam, namun sempat dibuat salinan semula sebagai bahan bukti di mahkamah.

“Saya telah mendapatkan khidmat daripada peguam saya dan kita akan mengambil tindakan undang-undang yang munasabah terhadap portal media ini,” katanya.

-NFN-