Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Klang siap 88%

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 4 NOV: Kemajuan kerja bagi Projek Pembinaan Jambatan Ketiga Klang Fasa 1 adalah 88 peratus berbanding 95.29 peratus yang dijadualkan.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, projek itu mengalami kelewatan 51 hari bersamaan 7.29 peratus.

“Kelewatan projek ini disebabkan masalah pengambilan tanah dan pengalihan tokong yang menyebabkan kerja pengalihan utiliti terjejas.

zaidy-dun“Kemajuan kerja terkini meliputi pembinaan struktur jambatan 80 peratus, pembinaan jalan raya 75 peratus serta kerja elektrikal dan utiliti 80 peratus,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADN Bukit Melawati, Jakiran Jacomah berkenaan isu status terkini pembinaan jambatan itu.

Zaidy berkata, projek yang bermula 2014 itu memakan kos semasa lebih RM210.8 juta yang diperuntukkan Kerajaan Negeri dan dijangka siap Mei 2017.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga membuat penambahan kerja pembinaan klinik kesihatan yang diperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menggantikan yang sedia ada, bermula pada Oktober lalu.

Difahamkan, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pembinaan jambatan ketiga Klang, pada 4 Mac 2008 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12.

Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 0.5 kilmeter (km) dan menaik taraf jalan sepanjang 3.8km.

Namun , sehingga awal 2013, pembinaan jambatan tersebut masih gagal dilaksanakan dan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk meneruskan projek pembinaanitu selepas mengambil kira keperluan untuk memastikan kelancaran trafik di bandar Klang.

-NFN-