Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Trend harga minyak global, ringgit dibuka rendah

SHAH ALAM, 4 NOV : Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan mata wang utama lain hari ini berikutan harga minyak meneruskan kejatuhannya dalam pasaran global susulan kebimbangan lebihan bekalan dalam inventori minyak mentah AS, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.1900/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1850/1900, semalam.

Naib Presiden Pasaran FXTM, Jameel Ahmad, berkata harga minyak akan terus menerima impak negatif jika Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden AS minggu depan.

ringgit“Jika Donald Trump menjadi Presiden AS akan memberi kesan dalam unjuran pertumbuhan yang akan direndahkan sekurang-kurangnya dalam tempoh sederhana berikutan ketidaktentuan pelabur dan daripada segi teori akan melemahkan permintaan bagi komoditi seperti minyak dan menjejaskan penilaian terhadap minyak,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetikm dari BERNAMA.

Harga minyak mentah Brent jatuh 1.09 peratus pada paras AS$46.35 setong, sementara minyak mentah AS jatuh 1.50 peratus kepada AS$44.66 setong.

Mata wang tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0259/0311 daripada 3.0208/0255 semalam dan menyusut berbanding yen kepada 4.0719/0780 daripada 4.0659/0727, sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding pound kepada 5.2283/2349 daripada 5.1722/1805 yang dicatatkan semalam dan jatuh berbanding euro kepada 4.6517/6590 daripada 4.6428/6496 sebelum ini.

-NFN-