Categories
SELANGOR

MARRIS: Kerajaan Negeri tak berhutang kredit Persekutuan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 NOV: Peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya  Malaysia (MARRIS) adalah kewajipan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, ia adalah termaktub dalam perlembagaan negara di bawah Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, oleh itu Kerajaan Negeri tidak berhutang kredit kepada Kerajaan Persekutuan.

“Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali juga sudah umum sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor sebanyak 22.6 peratus kepada Persekutuan.

“Jadi mungkin, kalau nak letak papan tanda pun letak papan tanda Smart Selangor,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif menerusi soalan tambahan bertanya sama ada Kerajaan Negeri setuju papan tanda ‘ownership’ diletakkan di jalan MARRIS.

Katanya, ia disebabkan peruntukan diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan untuk dilaksanakan di Selangor.

Menjawab soalan lain, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri menganggarkan lebihan RM21 juta peruntukan MARRIS bagi tahun hadapan.

“Kita berjaya mencerap jalan desa dan berjaya mendaftarkan di bawah MARRIS sepanjang 1,400 kilometer,” katanya.

EZY