Categories
SELANGOR

Selangor terima RM412.5 juta peruntukan MARRIS

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 NOV: Selangor menerima sejumlah RM412.5 juta peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) setakat 15 Oktober 2016.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, dijangkakan jumlah keseluruhan peruntukan MARRIS bakal diterima bagi 2016 adalah RM493.7 juta.

Katanya, Kerajaan Negeri pada awalnya menetapkan sebanyak RM600 juta sebagai Siling Peruntukan MARRIS tahun ini.

“Dari semasa ke semasa, terdapat kelulusan siling tambahan menjadikan Siling Kemas kini Peruntukan MARRIS 2016 adalah RM672.6 juta.

“Beza di antara siling kemas kini dengan jumlah terimaan dijangka sepanjang 2016 ditampung menerusi baki terkumpul MARRIS,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak berhubung peruntukan MARRIS.

Zaidy berkata, kesemua agensi pelaksana sudah mencapai prestasi sekurang-kurangnya 70 peratus.

“Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) mencatat prestasi 73.89 peratus, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan 85.84 peratus dan Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) dengan 86.63 peratus.

“Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) mencatatkan prestasi 59.37 peratus ekoran terdapat baki tanggungan RM32.4 juta yang dibayar pada tahun ini secara berperingkat.

“Jika mengambil kira perkara ini prestasi sebenar perbelanjaan semasa adalah RM148.8 juta iaitu 75.95 peratus,” katanya.

EZY