Categories
SELANGOR

MPSp raih anugerah MIP

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 29 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) berjaya meraih Malaysian Institute of Planners Recognition Awards’ (MIP), baru-baru ini.

Yang DiPertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, anugerah itu merupakan inisiatif MIP untuk menghargai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melaksanakan usaha, promosi dan pengbabitan masyarakat ke arah pembangunan mampan.

“Anugerah ini diberikan kepada 11 PBT sahaja dan MPSp merupakan antara PBT yang terpilih.

“Selain MPSp, anugerah itu turut diberikan kepada Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam serta Majlis Daerah Kuala Selangor,” katanya dalam mesyuarat bulanan.

Negeri lain yang menerima anugerah ialah Majlis Perbandaran Seberang Perai, Majlis Bandaraya Melaka, Majlis Perbandaran Nilai, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Sementara itu, MPSp turut memenangi Anugerah Inovasi PBT dalam usaha membangunkan ‘Green Nomad Stall’ yang menggunakan tenaga solar, pemasangan lampu LED.

“Kita juga menerima tempat ketiga menerusi Anugerah Pembangunan Mampan 2015. Anugerah itu diterima melalui Program Kebun Kejiranan dan Dusun Komuniti,” katanya.

Pada masa yang sama, MPSp menggalakkan pemaju di kawasan pentadbirannya membina lebih banyak bangunan yang mempunyai ciri-ciri teknologi hijau.

Katanya, galakan itu dibuat melalui Skim Rebat Cukai Taksiran sebanyak lima peratus bagi bangunan komersil yang mendapat akreditasi bangunan hijau.

“Sehingga kini, terdapat 11 bangunan yang sudah dapat dan dalam proses mendapat penarafan bangunan hijau,” katanya.

Selain itu, Puasa berkata Cyberjaya dipilih menjadi pelopor bandar hijau ke arah Green dan Smart City selaras hasrat Kerajaan Negeri dalam mengorak langkah menuju Smart State.

Katanya, merealisasikan hasrat itu MPSp memperuntukan belanjawan bagi menyediakan kajian ‘Low Carbon Cities Blueprint’ khususnya Bandar Cyberjaya.

“Kajian blueprint itu dilihat signifikan dan penting untuk memastikan semua agensi sama ada sektor kerajaan dan swasta khususnya pemaju yang mematuhi blueprint disediakan,” katanya.

=EZY=