Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Salur RM800,000 kerja baik pulih tanah mendap Rawang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

RAWANG, 29 NOV: Peruntukan RM800,000 disalurkan bagi kerja baikpulih tanah mendap di Taman Bersatu, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Jumlah itu katanya merangkumi kerja pemasangan tiang dan cerucuk besi bagi menghalang mendapan berlaku di kawasan berkenaan.

“Kita telah ambil keputusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan kerja pembaikan dengan membina cerucuk supaya benteng di kawasan ini tidak runtuh.

“Kerja ini menelan belanja RM800,000 dan Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan itu.

“Kita berharap, kerja pembaikan ini dapat disiapkan segera untuk tempoh seminggu atau dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Dewan Majlis Perbandaran Selayan Taman Bersatu, pagi ini.

Sebelumnya, beliau turut menyampaikan bantuan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai kepada mangsa.

Dalam kejadian 25 November lalu, sembilan buah kediaman membabitkan enam keluarga terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan.

“Apabila kerja pemasangan cerucuk ini selesai, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membaiki rumah yang rosak.

tanah-runtuh-rawang“Namun kerja penelitian dibuat terlebih dahulu sebelum kerja pembaikan rumah dibuat dan penduduk dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” kata Mohamed Azmin.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin memaklumkan Kerajaan Negeri bersedia menanggung kos sewaan perumahan sementara kepada penduduk terjejas.

“Untuk sementara waktu, Kerajaan Negeri bersedia menyediakan rumah sewa kepada mangsa, kerana adalah tidak mungkin mangsa menetap di pusat pemindahan untuk tempoh lama.

“Ini kerana kita jangkakan kerja baik pulih termasuk kerja pembaikan rumah ini memerlukan tempoh dua atau tiga bulan untuk siap sepenuhnya.

“Jadi penyediaan rumah sewa ini diberikan kepada mangsa dan Kerajaan Negeri bersedia menanggung sepenuhnya kos sewaan tersebut,” katanya.

=EZY=