Categories
EKONOMI

Nilai Ringgit semakin merudum

SHAH ALAM 12 NOV: Kebanyakan mata wang di seluruh Asia ditutup rendah berbanding dolar AS, memaksa bank-bank pusat untuk campur tangan kesan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Kebanyakan mata wang serantau lemah berbanding dolar AS pada Jumaat dengan Korea Selatan menerima kesan paling besar, menurut data daripada Bloomberg.

Rupiah Indonesia dan Rupee India juga jatuh dengan ketara.

Ringgit ditutup sangat rendah berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan kejatuhan harga minyak serta jangkaan Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah pada Disember.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu diniagakan 4.2800/2900 berbanding dolar AS daripada 4.2700/2790 pada Khamis.

Penyusutan ringgit itu juga seiring dengan mata wang sedang muncul lain di Asia.

Ringgit juga turun pada paras paling rendah dalam 12 tahun di pasaran luar pesisir kerana pelabur asing menjual bon kerajaan.

Menurut data, kontrak hadapan satu bulan mata wang tempatan itu jatuh 3.7 peratus daripada ketika ditutup sebelum ini kepada 4.5395 setiap dolar AS, paras terendah sejak September 2004.

Unit tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0372/0458 daripada 3.0409/0495 pada Khamis.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4168/4299 daripada 5.2905/2030, Khamis.

Ringgit juga naik berbanding yen kepada 4.0199/0308 daripada 4.0207/0307.
Ia susut berbanding euro kepada 4.6519/6632 daripada 4.6505/6624 Khamis.

Secara keseluruhan, ringgit menyusut nilai sebanyak tiga peratus berbanding dolar US pada suku kedua.

Ringgit juga menyusut nilai berbanding euro (-3.9 peratus), yen Jepun (-4.2 peratus) dan dolar Australia (-5.5 peratus), namun mengukuh berbanding paun sterling (0.2 peratus).

Ringgit juga menyusut nilai berbanding mata wang serantau kecuali peso Filipina, antara 1.8 peratus dan 7.3 peratus.

EZY