Categories
KENYATAAN MEDIA

Trump digesa henti kempen Islamophobia

OLEH MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencermati perkembangan terkini Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (A.S) 2016 yang baru sahaja berakhir dengan kemenangan berpihak pada Donald J. Trump mewakili parti Rupublikan. Beliau akan memulakan tugas beliau sebagai Presiden ke-45 Amerika Syarikat setelah mengangkat sumpah pada 20 Januari 2017.

ABIM menghormati keputusan rakyat Amerika Syarikat yang telah memilih wakil rakyat mereka untuk berada di Dewan Perwakilan, Senat serta Presiden yang baru melalui saluran pilihanraya yang demokratik.

Walaubagaimanapun, kemenangan Donald J Trump nampaknya telah mengejutkan pelbagai pihak serta masyarakat antarabangsa. Kejutan ini disusuli dengan pelbagai persoalan terutama sekali membabitkan dasar-dasar domestik dan antarabangsa, yang menyentuh turut menyentuh secara khusus dasarnya tentang Islam dan umat Islam.

Manifesto dan kenyataan provokasi Trump yang berbaur Islamophobia dan anti-Islam di sepanjang kempennya telah mengundang kegusaran di kalangan minoriti Muslim di Amerika Syarikat dan dunia Islam umumnya.

Hasrat Trump untuk melaksanakan dasar luar yang lebih agresif untuk menangani ancaman ISIS serta apa yang ditanggapi sebagai radikalisme Islam pasti dinantikan dengan penuh debar oleh pemimpin dunia dan masyarakat global.

Sentimen Islamophobia ini mewabak seiring dengan berkembangnya arus nasionalisme haluan kanan yang di bawa oleh Trump sepanjang kempen beliau.

Fenomena Islamophobia dan xenophobia terhadap imigran asing ini sebenarnya merupakan gelombang trend global yang sedang tangkas berkembang khususnya khususnya di Barat.

Dalam erti kata lain; kemenangan Trump adalah indikasi utama selepas peristiwa “Brexit” yang menandakan berkembangnya aliran nasionalis haluan kanan di benua Eropah.

Dengan penguasaan majoriti Republikan di Kongres Amerika Syarikat dalam pilihanraya kali ini, pentadbiran Trump pastinya mempunyai kuasa politik yang lebih besar dan kekangan yang minima dalam rangka merubah secara signifikan polisi domestik dan dasar luarnya.

Dalam konteks inilah ABIM menggesa agar Trump dan kongres Amerika Syarikat berhenti dari meneruskan kempen berbaur Islamphobia dan propaganda bernada ancaman terhadap Islam dan Muslim di Amerika dan seluruh dunia.

Operasi menentang pengganas tidak harus diterjemahkan sebagai operasi menentang Islam dan Muslim dalam dasar luar Amerika.

Trump harus belajar dari kesilapan mantan Presiden George W.Bush yang menggunakan kekerasan dan keganasan untuk menangani elemen terrorisme yang telah menghasilkan konflik, peperangan dan kemelaratan yang berpanjangan di banyak negara Islam serta melahirkan ISIS dan kumpulan pengganas yang lain.

Dalam konteks Malaysia, secara khususnya, kemenangan Donald Trump telah menimbulkan persoalan mengenai masa depan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ataupun TPPA yang masih belum diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat sehingga ke saat ini.

Di Amerika Syarikat; TPPA telah mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak kerana ia dikatakan tidak menguntungkan ekonomi domestik rakyat Amerika Syarikat.

Donald Trump, bahkan pesaingnya Hillary Clinton telah secara konsisten menentang perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang “merugikan” Amerika Syarikat seperti NAFTA serta TPPA.

Dalam hal ini; ABIM ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, (rujuk The Star, “No TPPA without US involvement, says Mustapa, 9 November 2016), yang mengatakan bahawa perjanjian TPPA tidak akan terlaksana tanpa penglibatan Amerika Syarikat.

Bersandarkan kepada kenyataan ini; ABIM ingin menegaskan pendirian dan sikapnya yang sejak dari awal konsisten membantah tindakan kerajaan Malaysia menandatangani TPPA.

Namun, bantahan demi bantahan yang dikemukakan oleh NGO dan suara rakyat dipandang enteng dan diremehkan oleh kerajaan yang tetap meneruskan komitmen menandatangani perjanjian TPPA secara tergesa-gesa walaupun telah acapkali diperingatkan implikasi besarnya terhadap kedaulatan undang undang negara dan kedaulatan rakyat.

Lebih menghairankan, Malaysia berkeras menandatangani TPPA sekalipun hakikatnya sangat jelas bahawa Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Barack Obama masih belum mendapat mandat daripada Kongres untuk meneruskan TPPA.

Justeru atas justifikasi yang jelas inilah ABIM bersama-sama rakan NGO iaitu Teras dan Unggas telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 4 November 2015 yang menuntut agar pihak kerajaan dihalang untuk terus menandatangani TPPA.

Kes tersebut telahpun diputuskan di Mahkamah Rayuan pada 26 Julai 2016 dan kini sedang diteruskan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Ini merupakan bantahan dan usaha berterusan ABIM dan NGO yang mewakili suara rakyat Malaysia, yang sejak dari awal lagi menolak TPPA termasuk menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan bahawa TPPA tidak akan terlaksana di Malaysia.

Persoalannya kini, seandainya benar perjanjian tersebut mendatangkan manfaat yang besar kepada negara, mengapa pula nada kerajaan seperti yang disuarakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsan dan Industri sejurus selepas kemenangan Trump seakan mahu berundur ke belakang dan berusaha membatalkan perjanjian TPPA.

Bukankah sepatutnya kerajaan mendesak pentadbiran Trump untuk meneruskan perjanjian TPPA seandainya benar ia membawa manfaat yang begitu besar kepada negara?
* MOHAMAD RAIMI AB RAHIM adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)