Categories
SELANGOR

Penambahbaikan bulatan Persiaran Anggerik atasi kesesakan aliran trafik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 NOV : Kerajaan Negeri menyokong usaha naik taraf tiga bulatan Persiaran Anggerik yang giat dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memperbaiki aliran trafik di kawasan itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram, dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, penambahbaikan itu melibatkan beberapa aliran utama antaranya di Lebuhraya SKVE, LKSA dan Lebuhraya Shah Alam.

“Penambahbaikan ini perlu bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah dan kepesatan pembangunan dijangka berlaku pada masa akan datang.

“Bagi penyediaan jangka panjang ini Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengeluarkan sejumlah peruntukan merangkumi geran Kerajaan Negeri, kutipan sumbangan infrastruktur dan sumbangan daripada pemaju.

“Untuk tempoh ini pihak pemaju dilantik bagi menyediakan pelan perincian dan tender untuk kerja penambahbaikan fasa pertama yang dimulakan awal 2017 ini dengan kos RM37 juta,” katanya di Sidang Dewan (DNS), hari ini.

Sementara itu, pembangunan penaiktarafan projek bagi fasa kedua pula melibatkan sejumlah peruntukan besar untuk 2017 dengan anggaran kos RM59 juta.

“Pihak majlis mengadakan perbincangan bagi mendapatkan input pembangunan yang dijalankan antara sempadan beberapa pentadbiran pihak berkuasa tempatan seluruh negeri.

“Sesi perbincangan juga diaturkan bagi membincangkan perkara ini dengan pengumpulan data dan perincian untuk kerja penambahbaikan ini,” katanya.

EZY