Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengambilalihan SPLASH: Mantan SUK sahkan tawaran RM2.97 bilion

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri mengesahkan mempunyai bukti kukuh berkenaan tawaran mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) bernilai RM2.97 bilion, pada 2009.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bukti itu sekali gus berbeza dengan kenyataan dibuat Abdul Khalid sebelum ini yang menyatakan tawaran kepada syarikat konsesi terbabit hanya RM250 juta.

“Hari ini saya dapat pengesahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Seri Ramli Mahmud dan menyatakan keputusan dibuat Abdul Khalid menawarkan RM 2.97 bilion kepada SPLASH.

“Itu patut beliau jawab,” katanya kepada media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin turut menegaskan dakwaan Abdul Khalid beliau menawarkan harga 10 kali ganda daripada
RM250 juta adalah tidak berasas ekoran keputusan berkenaan perkara itu belum dimuktamadkan.

Beliau turut mengkritik sikap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang itu yang tidak menyatakan perkara sebenar kepada DNS dan rakyat umumnya.

“Beliau perlu menjawab kepada DNS kenapa tawaran dengan jumlah itu dibuat kepada SPLASH. Jika bukan di dewan, di mana lagi?

img_0133-1296x864“Apa kita lakukan dalam tempoh dua tahun ini ialah berbincang dan saya sentiasa kemukakan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Itu tidak berlaku sebelumnya,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menyokong usaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) berkenaan cadangan tawaran dengan penilai bebas untuk menetapkan nilai kepada SPLASH tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah melantik penilai bebas sejak setahun lalu dan ia mendahului Kerajaan Persekutuan yang baru bertindak kira-kira sebulan lalu.

“Saya juga memberi jaminan tarif air tidak membebankan rakyat walau apa sekalipun tawaran harga dipersetujui Perbadanan Asset Air Berhad (PAAB).

“Kita akan pastikan mereka yang mendapat air percuma tidak terganggu,” katanya.

-AA-