Categories
SELANGOR

Peniaga, pengguna sambut baik larangan penggunaan polisterin

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 5 NOV: Pengusaha perniagaan dan masyarakat awam menyambut baik langkah Kerajaan Negeri menguatkuasakan larangan penggunaan polisterin di seluruh Selangor, mulai tahun depan.

Tinjauan SelangorKini mendapati majoriti daripadanya memberikan maklum balas positif kepada program itu dan menyifatkannya sebagai langkah tepat ke arah mengangkat Selangor sebagai negeri peneraju teknologi hijau.

Pengusaha Bu Bu Food Truck, Douglas Jim, berkata pendekatan diambil itu membawa manfaat kepada semua pihak dan seharusnya disokong bagi mewujudkan persekitaran lebih baik dalam kehidupan.

“Saya rasa elok sangat hapuskan polisterin kerana perniagaan ini dimulakan memang tidak menggunakan bahan itu.

“Sebagai alternatif kita gantikan dengan bahan lain yang mesra alam dan kesihatan yang berkualiti demi kebaikan pelanggan,” katanya.

Berhubung galakan untuk orang ramai membawa bekas makanan sendiri, ia adalah saranan baik dan telah menjadi amalan kepada segelintir masyarakat di negara ini.

“Memang ada di kalangan pelanggan yang gemar membawa bekas makanan sendiri dan kita menggalakkannya,” kata Chef Bu Bu Food Truck, Tony Mokhtar.

Pengusaha RNR Food Truck, Syafizal Syaren Hashim berkata, penggunaan bahan lain selain polisterin juga plastik memberi banyak manfaat kepada peniaga dan pengguna.

“Saya sendiri menggunakan beg kertas untuk pelanggan dan langkah melarang penggunaan polisterin memang disokong penuh.

“Ia bagi memastikan kehidupan kita menjadi lebih baik,” katanya.

Manakala, Sharifah Syazanur Ain Syed Zahari, 24, berkata, program itu amat baik dan perlu disokong kerana mampu mengurangkan kos ditanggung peniaga dengan penggunaan bahan lebih mesra alam.

“Ia bagus apabila bahan kitar semula dijadikan bahan alternatif ini supaya orang boleh pakai dan buang.

“Bagi saya, polisterin dan plastik macam sesuatu yang agak eksklusif dan peniaga harus gunakan bahan jimat kos,” katanya turut bersetuju pelaggan membawa bekas sendiri untuk pembelian bahan makanan.

Selain penguatkuasaan larangan penggunaan polisterin, Kerajaan Negeri juga tidak menggalakkan penggunaan beg plastik dengan pengusaha perniagaan perlu mengenakan caj bayaran untuk pengedarannya kepada pelanggan.

EZY