Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Sepak takraw terima suntikan baru lahir bakat gemilang

SHAH ALAM 6 NOV: Sukan sepak takraw kini menerima suntikan baru di Selangor apabila Program Trio Impian Perangsang Selangor 2016 yang berlangsung selama enam bulan mulai Oktober 2016 sehingga Februari 2017 bakal menjelajah ke semua sembilan daerah di negeri itu.

Inisiatif ini digerakkan oleh Masyarakat Bolarotan (MBR) iaitu NGO penggiat sepaktakraw terbesar di Malaysia dengan tajaan dari Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

Pada 22 – 23 Oktober 2016 yang lalu, edisi sulung program Trio Impian ini dijalankan di Dewan Kiambang Majlis Bandaraya Shah Alam dengan Daerah Petaling membuka tirai program unik ini.

Program ini bertujuan menggalakkan penggiat sepak takraw dari semua lapisan masyarakat dan bangsa untuk menjalani gaya hidup sihat dengan bersukan selain memartabatkan lagi sukan tradisi di negeri Selangor khususnya.

tr0a9222Seramai 51 orang telah terlibat bagi edisi sulung ini.

Bagi daerah Petaling, gelanggang Kinrara Takraw Frenz di BK5 (Bukit Kinrara) dipilih sebagai Gelanggang Tumpuan yang mana berperanan meneruskan program ini selama enam bulan bagi mempersiapkan pasukan Daerah Petaling untuk kejohanan akan datang.

Program susulan di BK5 ini juga bermula pada 30 Oktober yang lalu.

Presiden MBR, Mohsen Amdan, yang juga pencetus kepada idea Trio Impian ini berkata, program ini mencungkil lebih ramai pemain dari kanak – kanak sehingga veteran.

Selain itu pengisian program ini turut memuatkan elemen kejurulatihan dan kepengadilan.

Ini secara tidak langsung memperkukuhkan komponen sepak takraw di setiap daerah di Selangor dan membolehkan pasukan – pasukan di setiap daerah diperkasakan semula.

Selepas ini ada lapan lagi daerah yang menjalankan program sebegini dan diharapkan mampu membawa semula nama Selangor sebagai negeri yang memiliki sejarah hebat di arena sepaktakraw tempatan.

Semua foto dan video program ini turut dimuat naik ke laman web MBR iaitu Bolarotan.com.

Maklumat berkenaan program in ijuga turut boleh diperolehi melalui Facebook Masyarakat Bolarotan.

EZY