Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Peruntukan RM289 juta, JAIS sasar tingkat fasiliti pembangunan pendidikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 NOV : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mensasarkan pembangunan fasiliti sekolah integrasi seluruh negeri ditingkatkan menerusi cadangan peruntukan RM289 juta dalam Belanjawan 2017 lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tumpuannya termasuklah pembinaan sekolah madrasah dan maahad tahfiz negeri.

“Kerajaan Negeri komited meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan rakyat khususnya menambah bilangan sekolah agama, meningkatkan kualiti perkhidmatan guru, serta penambahbaikan prasarana sekolah agar terus kondusif.

“Justeru, menerusi peningkatan peruntukan RM289 juta di bawah JAIS, saya melihat perkembangan ini mampu memberi insentif kepada golongan pendidik merangkumi aspek pembangunan sekolah maahad integrasi dan tahfiz.

“Cadangannya dibangunkan satu lagi sekolah integrasi untuk pembangunan maahad integrasi tahfiz di Bagan Lalang, Hulu Langat dan penambahbaikan Mahad Tahfiz Istana Bandar,” katanya.

Terdahulu, Yunus ketika Sidang Dewan Selangor (DNS) memaklumkan, peruntukan bagi sekolah agama Kelas Al-Quran Fardhu Ain (KAFA) dan Maahad Integrasi Tahfiz Sains untuk 2017 mengikut gred operasi dan kelayakannya.

“Peruntukan ini tertakluk mengikut kategori operasi iaitu bagi Gred A, peruntukan operasinya RM813,800, gred B pula RM406,200 dan gred C RM222,600.

“Bentuk kemudahan ini juga termasuklah pegawai keselamatan, pembersih kawasan, guru tetap, guru kafa dan peruntukan elaun baru untuk kakitangan tetap dan sokongan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2017 berkata, peruntukan berkenaan melonjak daripada tahun sebelum sebagai inisiatif memastikan aspek pendidikan berteraskan agama terus diberdaya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16 juta semenjak 2013 bagi infrastruktur pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T).

Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan bagi SAR dinaikkan kepada RM9 juta, manakala SJK(C) dinaikkan kepada RM7 juta dan SJK(T) dilonjakkan peruntukan kepada RM5 juta.

EZY