Categories
NASIONAL

KPN digesa profesional laksanakan tugasan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar diminta menjalankan siasatan dan tanggungjawabnya secara profesional demi kebaikan semua pihak.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Fauzi Abdul Rahman berkata, ketika ini masyarakat mempertikaikan kepimpinannya dengan kualiti perkhidmatan Polis didakwa mengalami kemerosotan sejak beliau mengetuainya.

“Nasihat saya KPN jangan cakap banyak, hanya jalankan tanggungjawab secara profesional dan penuh integriti,” katanya kepada SelangorKini di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Khalid berhubung tindakan ke atas Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Dato’ Seri Jamal Yunos, jika terbukti membuat laporan polis palsu.

Baru-baru ini, Jamal yang mengetuai Gerakan Baju Merah menimbulkan kekecohan di sebuah pusat membeli belah di Ampang, di sini, apabila berlaku pergelutan hinggan hidungnya berdarah.

Dalam rakaman video, beliau mendakwa ditumbuk polis tetapi kemudian menukar tuduhan kepada “budak Zuraida pukul saya” dan “Zuraida pukul saya” merujuk kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida dalam sesi promosi BERSIH 5 di pusat membeli belah itu apabila secara tiba-tiba diganggu kumpulan Baju Merah.

Zuraida dan Jamal masing-masing membuat laporan polis selepas itu.

Fauzi berkata, satu masa dahulu pihak polis di negara ini dihormati kerana mempunyai kualiti yang baik dan terpuji.

“Dalam sejarah Malaysia, kita pernah mempunyai pasukan polis terbaik di Asia dan mungkin di peringkat dunia satu ketika dahulu.

“Ini kerana kepimpinan dan anggotanya adalah berkualiti juga punya integriti,” katanya.

EZY